EKONOMI

GXBANK TUBUH PUSAT KECEMERLANGAN SERANTAU BAGI PERKHIDMATAN PERKONGSIAN DI MALAYSIA

24/04/2024 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- GX Bank Bhd (GXBank) akan menubuhkan pusat kecemerlangan (COE) serantau untuk perkhidmatan perkongsian di Malaysia.

GXBank berkata COE itu dijadualkan beroperasi pada penghujung 2024, yang bertujuan memberi perkhidmatan kepada bank digital yang diterajui Grab, serta perkhidmatan-perkhidmatan kewangan dan operasi di rantau ini.

"COE ini bersedia menawarkan hampir 400 peranan secara progresif yang memberi tumpuan kepada aktiviti perbankan teras seperti antara lain operasi perbankan, teknologi dan pengurusan risiko.

"Penubuhan COE adalah sebahagian daripada pelaburan RM1.5 bilion oleh GXBank di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang, menempatkan negara sebagai hab pusat untuk merevolusikan landskap kewangan dan perbankan digital di rantau ini," kata syarikat itu dalam satu kenyataan bersama dengan Grab dan Endeavor.

Syarikat berkenaan berkata langkah itu sejajar dengan matlamat Sidang Kemuncak KL20 2024 untuk mengangkat Malaysia sebagai hab inovasi dan menerajui kemajuan teknologi serta  digital. 

Ketua Pegawai Eksekutif bank itu Pei-Si Lai berkata COE berkenaan adalah sebahagian daripada matlamat jangka panjang bank yang bukan sahaja untuk menjadi bank digital pilihan rakyat Malaysia tetapi juga untuk memupuk kemahiran bernilai tinggi yang akan meningkatkan industri perbankan digital di rantau ini.

"Kami tidak sabar-sabar menyahut seruan kerajaan untuk beroperasi; dengan sokongan mereka, kami berada pada kedudukan yang baik untuk berkhidmat kepada bank digital yang diterajui Grab di rantau ini. Misi kolektif kami adalah untuk memberi perkhidmatan kepada berjuta-juta individu yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, memudahkan mobiliti sosial di antara generasi mereka dan meningkatkan ekonomi keseluruhan rantau ini," katanya.

Sementara itu, bank berkenaan berkata bakat-bakat terkemuka daripada Grab dan GXBank akan bekerjasama dengan Endeavor Malaysia untuk membantu mentor usahawan tempatan terpilih yang berpotensi tinggi bagi mempercepatkan pertumbuhan mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan