AM

ANUGERAH MEDIA DIGITAL ASIA 2024 IKTIRAF AGENSI BERITA GUNAKAN STRATEGI MEDIA DIGITAL

25/04/2024 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Anugerah Media Digital Asia 2024 yang berlangsung di ibu negara hari ini mengiktiraf agensi berita dan media yang memupuk penggunaan strategi media digital seiring perubahan media tradisional kepada secara dalam talian.

Anugerah anjuran Persatuan Akhbar dan Penerbit Berita Sedunia (WAN-IFRA) itu menerima 136 penyertaaan tahun ini daripada pelbagai agensi berita serta media di rantau Asia termasuk Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Acara itu sebahagian daripada Persidangan Media Digital Asia yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, yang menghadiri majlis itu, turut menyampaikan beberapa anugerah antaranya kategori Laman Sesawang Berita Terbaik, Laman Gaya Hidup Terbaik dan Penggunaan Video Terbaik.

Majlis itu turut menyaksikan saluran berita Astro AWANI merangkul tiga anugerah iaitu kategori media kecil dan sederhana bagi Anugerah Laman Gaya Hidup Terbaik menerusi halaman Piala Asia Qatar 2023, Anugerah Projek Semakan Fakta Terbaik menerusi Inisiatif AI-Powered Fact-Checking Lab dan anugerah Penggunaan AI Terbaik dalam Bilik Berita bagi program Tanya AI.

Sinar Karangkraf Sdn Bhd menerusi portal Sinar Daily pula merangkul Anugerah Laman Sesawang Berita Terbaik bagi kategori media kecil dan sederhana manakala Star Media Group Berhad muncul pemenang perak bagi Anugerah Penggunaan AI dalam Strategi Hasil Terbaik menerusi Inisiatif RHB #JomSapot BeliLokal Gen-AI Led Integrated Marketing Campaign.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan