AM

LEBIH 14,000 ADUAN DITERIMA MENERUSI APLIKASI MYJALAN SETAKAT INI - AHMAD MASLAN

25/04/2024 12:45 AM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima sebanyak 14,031 aduan seperti jalan rosak dan berlubang menerusi aplikasi MYJalan bagi tempoh Ogos 2023 hingga 19 April lepas. 

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu, 27 peratus atau 3,776 aduan melibatkan jalan seliaan Jabatan Kerja Raya, manakala 73 peratus atau 10,255 di bawah tanggungjawab kementerian lain. 

“Bagaimanapun, kami mengambil tanggungjawab bukan hanya ingin menjaga jalan persekutuan, lebuh raya dan jalan negeri, kami juga menyalurkan maklumat terbabit kepada kementerian berbeza termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Bangsa Usahawan dan Kerajaan Perpaduan” terbitan Bernama TV malam ini. 

Ahmad berkata pihaknya juga telah menyelesaikan 86 peratus daripada 3,766 aduan diterima menerusi aplikasi itu yang berkaitan dengan kementeriannya setakat ini, manakala selebihnya masih dalam siasatan. 

“Kami ada prosedur operasi standard yang akan sentiasa diperbaik, jika ada jalan berlubang di lebuh raya dan kawasan jalan persekutuan ia hendaklah ditampal dalam masa 24 jam. Setakat ini, 100 peratus kita tampal dalam tempoh 24 jam atau kurang,” katanya.

 Aplikasi MYJalan merupakan inisiatif bagi memudahkan pengguna jalan raya membuat aduan berkaitan kerosakan jalan yang dilancarkan secara rasmi pada 2 Ogos 2023.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan