EKONOMI

Forum Kepimpinan Ekonomi Halal 2024 Bermula Esok, Tumpu Inovasi Dan Kemampanan

29/04/2024 10:10 AM

Daripada Karina Imran

RIYADH, 29 April (Bernama) -- Forum Kepimpinan Ekonomi Halal (HELF) 2024 di sini, bermula esok dengan tumpuan kepada aspek inovasi, kemampanan dan pengembangan pasaran dalam ekonomi halal.

HELF 2024 yang dianjurkan bersama oleh Halal Development Corporation Bhd (HDC), Bank Pembangunan Islam (IsDB) dan Syarikat Pembangunan Produk Halal Arab Saudi (HPDC), adalah bersempena Forum Sektor Swasta IsDB (PSF) 2024 di Riyadh pada 28-30 April, 2024, yang berlangsung di InterContinental Riyadh.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan menyampaikan amanat khas dan diikuti dengan ucapan daripada kalangan pemimpin organisasi selain perbincangan panel dan pengumuman program pembinaan ekosistem halal antara IsDB, HDC dan HPDC. 

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata forum itu berperanan sebagai platform dialog yang mantap, peluang pertukaran pengetahuan dan kerjasama strategik bagi membentuk masa depan ekonomi halal. 

“Kita akan menyaksikan sesi panel yang membincangkan potensi dan ciri-ciri ekonomi halal dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan di peringkat pasarannya.

“Selain itu, mandat kerajaan terhadap ekonomi halal akan turut dikongsi pada HELF 2024 yang bertujuan menggalakkan ekosistem halal mampan untuk dicontohi di negara lain, terutamanya di 57 negara anggota OIC," katanya kepada Bernama hari ini. 

Khairul Azwan berkata Malaysia mempunyai ekosistem halal yang telah lama bertapak dan di kedudukan pertama dari segi ekosistem dan pensijilannya selama 10 tahun berturut-turut. 

Sehubungan itu, banyak negara dapat memanfaatkan peluang untuk menimba pengalaman luas Malaysia dalam ekonomi halal serta dasar dan pelan induk berkaitan yang meletakkan Malaysia dalam ekosistem halal global. 

“Malaysia menjadi rujukan utama bagi kebanyakan pasaran halal di serata dunia. Oleh itu, HDC telah diberi mandat oleh kerajaan untuk meneruskan usaha murni ini, terutamanya dalam memperkenalkan penciptaan nilai di negara-negara lain mengenai ekonomi halal. 

“Ini menyentuh usaha membantu negara masing-masing untuk membangunkan ekosistem halal dan mempunyai industri halal yang kukuh. Malah, kita menjangkakan banyak negara anggota OIC yang mengambil bahagian di peringkat global dalam rantaian bekalan halal, akan turut meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masing-masing secara progresif," katanya.

Forum kepimpinan yang pertama kali diadakan itu dijangka membantu melonjakkan kerjasama antara IsDB, HPDC dan HDC dalam membangunkan serta menyepadukan ekosistem halal dalam kalangan negara anggota.

Hasil daripada kerjasama ini bertujuan menawarkan negara anggota dan bukan anggota IsDB dari segi penyelesaian terbaik dalam aspek Pembangunan dan Pengupayaan Ekosistem Halal, termasuk menggunakan instrumen kewangan sedia ada bagi menangani defisit intra-perdagangan selain memanfaatkan pasaran yang berpotensi.

Pada forum itu, turut diketengahkan adalah sesi Kepimpinan Pemikiran bertajuk ‘Merintis Masa Depan Mampan dalam Ekonomi Halal’ yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dinar Standards, Rafi-uddin Shikoh. 

Sesi itu turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari, Naib Presiden IsDB Mansur Muhtar, Ketua Pegawai Eksekutif HPDC Fahad S. AlNuhait dan Profesor Durham University Business School di Timur Tengah dan Ekonomi Politik dan Kewangan Islam Mehmet Asutay. 

Seramai kira-kira 350 peserta dijangka membincangkan topik utama seperti aliran atau trend pasaran, rangka kerja pengawalseliaan, keutamaan pengguna dan kemajuan teknologi yang merangka hala tuju ekonomi halal yang lebih inklusif, beretika dan makmur pada peringkat skala global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan