PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.
Beliau berkata kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
“Kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus. Kenaikan antara terbaik dalam sejarah oleh Kerajaan MADANI,” katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.
“Pada masa ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata sebelum ini antara jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus kira-kira 12 tahun lepas, namun Kerajaan MADANI akan memastikan jumlahnya lebih tinggi daripada itu.
“Maka kita akan laksanakan lebih 13 peratus peratus kenaikan mulai Disember tahun ini, sebab saya sudah berjanji,” katanya.
Sebelum ini Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas mengumumkan SSPA akan dilaksana sepenuhnya mulai 2025.
"Untuk tahun depan, bila kita mula laksanakan ia akan mencecah lebih RM10 bilion, kerana jumlahnya agak besar dan kenaikannya agak lumayan.
"Kita juga akan meneliti daripada segi kewangan dan bagaimana ia boleh menampung, tetapi pada masa sama hutang negara tidak lebih (daripada sepatutnya)… ini perlukan kepakaran luar biasa, tapi saya lega susah bagaimanapun kena tunaikan kepada rakyat termasuk pekerja,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata pelaksanaan SSPA melihat kepada aspek yang menyeluruh.
“... ini bukan terpakai untuk semua, kalau rekod pekerjanya tak membanggakan, malas, sering lambat dan tidak beri tumpuan yang baik, (mereka) tidak layak diberi ganjaran seperti yang dijanjikan kerajaan,” katanya.
Anwar berkata setiap pekerjaan mempunyai peranan sama penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau juga berharap syarikat-syarikat swasta dapat mengikut langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam.
“… pengumuman ini walaupun tidak menyinggung secara langsung (syarikat) swasta, saya mahu dan berikan tempoh kepada mereka untuk memberikan perhatian, ada syarikat-syarikat swasta yang untungnya berlipat kali ganda.
“Jadi mana untungnya? - dalam produktiviti. Dari mana produktivitinya? Produktiviti itu (datang) dengan pekerja, jadi berikanlah sedikit, kalau syarikat untung ratus juta, berikanlah berapa ratus ringgit kepada pekerja,” katanya.
Anwar dalam pada itu menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan hanya memberi perhatian kepada penjawat awam berbanding pekerja di sektor lain.
Sementara itu, Perdana Menteri turut memaklumkan Kerajaan Sabah dan Sarawak bersetuju untuk membuat pindaan ke atas Ordinan Buruh Sabah (Ordinan Cap.67) dan Sarawak (Ordinan Bab 76) untuk diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia.
Jelasnya RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sarawak akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.
Anwar juga memaklumkan bahawa kedudukan Malaysia di dalam Subindeks Kecekapan Kerajaan bagi kajian IMD World Competitiveness Yearbook telah meningkat kepada kedudukan di tangga ke-29 pada 2023, berbanding kedudukan ke-38 pada 2022.
“Prestasi ini menunjukkan Malaysia berada pada landasan yang betul untuk mencapai kedudukan 20 teratas menjelang tahun 2025, sepertimana yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),”
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial