KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Karnival Kerjaya yang dianjurkan sempena Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang selama tiga hari bermula esok akan menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata Karnival yang diselaras oleh Badan Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu bertujuan memberi peluang kepada pencari kerja khususnya yang berada di Zon Utara untuk mendapat pekerjaan.
“Kemuncaknya (Program Madani Rakyat) adalah karnival kerjaya untuk memudahkan rakyat di sebelah utara mendapat peluang mencari pekerjaan. Mereka ini ada mungkin ada sijil, diploma atau ijazah tapi tak boleh cari kerja.
“Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini di Bukit Jalil, selalunya mereka akan lakukan temu duga di program itu. Jadi gunakan peluang ini sebaik mungkin,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Program Madani Rakyat Zon Utara bakal menumpukan kepada agenda berkaitan kesejahteraan rakyat, perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan kecerdasan buatan (AI).
Pelbagai aktiviti menanti pengunjung disediakan, termasuk perkhidmatan secara terus daripada kementerian dan agensi-agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri.
Program itu turut memberi peluang kepada masyarakat mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan kerajaan.
Mohamad Fauzi berkata Kementerian Komunikasi juga akan membuka reruai sepanjang program itu dan pelbagai aktiviti menarik dirancang termasuk penampilan khas pelakon Fikry Ibrahim.
“Datanglah beramai-ramai ambil kesempatan lihat sendiri dasar-dasar inisiatif kerajaan MADANI yang diusahakan untuk kesejahteraan rakyat.
“Sebelum ini kita buat di Zon Tengah mungkin orang-orang utara tak berpeluang (datang), kita buat di Bukit Jalil juga tidak berpeluang, jadi ambillah kesempatan ini. Bukan setakat boleh jumpa PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) kita juga boleh dapat pelbagai perkhidmatan secara langsung dari agensi-agensi kerajaan pada program ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial