AM

Pm Mahu Integriti Penjawat Awam Setimpal Dengan Pengiktirafan Diberi Kerajaan

06/05/2024 10:44 AM

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu nilai integriti penjawat awam setimpal dengan pengikitirafan dan keyakinan yang diberikan kerajaan melalui pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Mei di sini hari ini, beliau berkata justeru itu, penjawat awam diminta mengenal pasti individu yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam.

“Jadi saya minta sementara kita beri satu anjakan yang agak radikal dari segi memberikan pengiktirafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara-saudara untuk mengawal sendiri jabatan dan kawan-kawan supaya dikenal pasti orang-orang yang merosakkan nama baik penjawat awam.

“Ada golongan kecil yang rasuah, tak datang kerja, pelbagai masalah. Apakah harus kita beri layanan yang sama pada kumpulan kecil itu, jawab saya, tidak, kita tidak akan beri layanan sama,” katanya.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah mengambil keputusan yang radikal dan berani apabila membuat keputusan menaikkan gaji penjawat awam di kala negara masih belum pulih sepenuhnya dari ketidaktentuan ekonomi serta masalah seperti ketirisan dan rasuah.

“Kalau ikut pertimbangan ekonomi, teori ekonomi biasa, semua kenaikan gaji ditangguh sehingga ekonomi itu lebih stabil, maknanya hutang kurang.

“Tetapi saya lihat dari segi MADANI, ihsan, kemanusiaan, tahap kecekapan, kemampanan. Bagaimana boleh kita bebankan kepada penjawat awam kesalahan yang bukan semuanya berpunca dari mereka, kadang-kadang dari segi pengurusan dan dari segi kecuaian banyak pihak lain.

“Jadi kita pertimbangkan itu, tak boleh dibebankan, dan ada kewajaran kita sebagai bapa dalam keluarga besar, kerajaan harus beri pertimbangan, itulah sebabnya mengapa kita ambil keputusan yang berani (naikkan gaji penjawat awam),” katanya.

Beliau berkata keputusan menaikkan gaji penjawat awam juga telah dibincangkan dengan teliti dan agak mendalam bersama pengurusan tertinggi kerajaan seperti Mohd Zuki dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Justeru kata Anwar, kerajaan membuat keputusan menaikkan gaji penjawat awam bagi memberi keyakinan kepada pekerja sektor awam bahawa pimpinan kerajaan MADANI betul-betul serius mencari jalan sebaik mungkin untuk membantu.

Anwar berkata beliau juga yakin cadangan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam akan diluluskan Parlimen semasa pembentangan Belanjawan 2025 dijangka pada Oktober ini.

“Ada yang pertikai, maknanya belum muktamad lah tu, mana tahu Parlimen tak luluskan. 

“Saya nak tanya Ahli Parlimen mana yang nak bantah? Kalaupun bantah, ada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, majoriti tetap dua pertiga, Insya-Allah,” katanya.

Pada 1 Mei lepas, sempena sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat Kebangsaan, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Anwar berkata di bawah SSPA yang sedang disemak, kerajaan akan memastikan gaji minimum keseluruhan penjawat awam juga melebihi RM2,000 sebulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan