AM

PELURU BERPANDU ANTIKERETA KEBAL 'KARAOK' DISERAH KEPADA ATM AWAL 2026

08/05/2024 07:06 PM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan akan menyerahkan kumpulan pertama sistem peluru berpandu jarak dekat antikereta kebal ‘KARAOK’ kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada awal 2026.

Pengurus Serantau bagi Asia Tengah dan Timur Jauh Roketsan, Chumur Murat Boz berkata dengan penghantaran itu Malaysia akan menjadi negara luar pertama memperoleh peluru berpandu antikereta kebal terbaharu syarikat berkenaan yang digunakan tentera Turkiye.

"Terdapat permintaan besar untuk sistem antikereta kebal mudah alih dan pertahanan udara di seluruh dunia. Malaysia akan menjadi penghantaran pertama kami untuk KARAOK.

“Tahun lepas kami menandatangani kontrak dan mengikut kontrak itu, ia akan dihantar pada awal 2026. Kami tidak melihat ATM sebagai pelanggan tetapi sebagai rakan strategik kami...kami ingin menambah nilai serta menyumbang kepada keselamatan dan kedaulatan Malaysia serta angkatan tenteranya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di luar acara pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini hari ini.

Pada tahun lepas, Kementerian Pertahanan secara rasmi memilih KARAOK bagi memenuhi keperluan sistem peluru berpandu antikereta kebal negara.

Ia bagi menggantikan sistem peluru berpandu antikereta kebal jarak sederhana keluaran Rusia, Metis-M (AT-13 Saxhorn) yang digunakan Tentera Darat sejak 20 tahun lepas.

Selain dilengkapi dengan mod pelancaran fire and forget, KARAOK direka untuk membedil kereta kebal atau kenderaan berperisai pada jarak maksimum 2.5 kilometer melalui kaedah serangan terus dan serangan bahagian atas, seumpama peluru berpandu antikereta kebal buatan Amerika, FGM-148 Javelin.

Mengulas lanjut, Boz berkata Roketsan akan menyediakan program latihan intensif kepada anggota ATM sebelum penghantaran KARAOK.

“Kami juga akan menyediakan latihan untuk jurulatih supaya mereka dapat melatih jurulatih seterusnya,” katanya sambil menambah ia akan dijalankan secara simulator dan latihan dunia sebenar.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan kuantiti KARAOK yang diperoleh Malaysia serta nilai kontraknya.

Sebelum ini dilaporkan perolehan itu melibatkan 18 pelancar sistem bersama lebih 100 peluru berpandu antikereta kebal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan