AM

Koperasi Buat Orang Ulu Jadi Legasi Mutang

10/05/2024 09:08 PM

KUCHING, 10 Mei (Bernama) -- Cetusan idea mendiang Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal yang juga Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI) untuk menubuhkan koperasi di bawah persatuan itu menjadi legasi bermakna yang ditinggalkan bagi membangunkan ekonomi komuniti berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) Kennedy Chukpai Ugon berkata kewibawaan Mutang dalam memimpin etnik di negeri ini melayakkan beliau menjadi presiden pertama OUCCI yang ditubuhkan pada September 2019. 

“Ada yang menentang idea ini pada mulanya … beliau ada meminta pandangan saya sebagai Presiden FORUM semasa mahu menubuhkan koperasi ini dan saya bersetuju dengan cadangan itu kerana ia untuk kebaikan komuniti kami. 

“Tujuan koperasi ini bagi memastikan komuniti Lun Bawang dapat terlibat dalam bidang keusahawanan kerana banyak bantuan kerajaan disalurkan menerusi koperasi, jadi kita tak mahu komuniti Orang Ulu tercicir,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan DUN di sini hari ini. 

Beliau yang tidak dapat menahan sebak apabila berkongsi personaliti figura pemimpin Lun Bawang itu berkata sebagai anak Orang Ulu beretnik Kenyah, pemergian Mutang amat dirasai apatah lagi mendiang seorang pemimpin yang rendah diri dan mudah untuk dibawa berbincang. 

“Orang Ulu ini ada banyak subetnik contohnya Lun Bawang, Kayan dan Kenyah, jadi bukan senang untuk kita menyatukan kesemuanya … sebagai pemimpin, beliau selalu nasihat agar tidak hanya mengutamakan satu subetnik tapi seluruh Orang Ulu.

“Saya selalu berhubung dengannya dan beliau sentiasa ingatkan kita mesti ikhlas dan jujur dengan apa yang kita buat demi rakyat, jadi secara tidak langsung saya bukan hanya kehilangan seorang pemimpin, malah seorang penasihat,” katanya. 

Terdahulu, Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara mengesahkan Mutang, 69, meninggal dunia pada 11.46 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur selepas menerima rawatan di situ setibanya dari Azerbaijan pada 6 Mei lepas.

Mendiang meninggalkan isteri Datin Ho May Leng dan tiga anak. 

Pada 19 Feb, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Pelantikan Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas menjadi pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara. 

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan