Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Hampir separuh perjalanan hidup guru wanita ini dihabiskan di Jepun semata-mata untuk mengajar bahasa Melayu sekali gus memartabatkan serta menyuburkan lagi bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat di negara Matahari Terbit itu.
Biarpun sudah menginjak usia 65 tahun, Faridah Mohamed tidak pernah berasa lelah dengan perjuangan yang bermula pada tahun 1989 untuk mengajar bahasa Melayu di peringkat sekolah dan universiti.
Sejak tahun 2011, bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac Kota Kinabalu, Sabah itu menggalas tanggungjawab sebagai pensyarah pelawat khas di Pusat Pengajian Bahasa dan Budaya di Tokyo University of Foreign Studies.
Beliau juga turut menjadi penterjemah skrip drama, radio, dokumentari, penerbitan buku serta kamus.
Berpeluang menemu bual Faridah melalui telefon baru-baru ini, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, semuanya bermula apabila beliau terpilih menjadi kumpulan pertama guru sekolah kerajaan yang dihantar ke Jepun menerusi program Dasar Pandang ke Timur, bagi mengikuti kursus bahasa Jepun selama setahun.
“Selepas tamat kursus, saya sambung ke peringkat ijazah selama empat tahun di Universiti Mei Kai. Semasa awal di sana, saya memang tak menang tangan menerima tawaran kerja sambilan mengajar bahasa Melayu, terjemahan, semakan mahupun alih suara untuk sekolah atau syarikat persendirian.
“Saya tak pernah menolak tawaran kerana seronok mengajar mereka bahasa kebangsaan dengan tatabahasa yang betul. Upahnya lumayan kerana tidak ada orang Melayu yang mengambil peluang tersebut ketika itu,” katanya kepada Bernama.
Keterujaan untuk terus menabur bakti di Jepun demi mengangkat bahasa kebangsaan di mata dunia, membuatkan Faridah nekad tidak pulang ke tanah air bersama rakan kumpulan guru tajaan lain meskipun diarah berbuat demikian selepas tamat pengajian.
Keputusan itu mengakibatkan Faridah dikehendaki membayar penalti sebagai ganti rugi kepada kerajaan, namun wang hasil kerja sambilan sebagai guru serta penterjemah yang dikumpul sepanjang pengajian banyak membantunya melunaskan denda tersebut.
“Saya mempunyai kemahiran mengajar dan kepakaran dalam bahasa, selain nama saya turut dikenali ramai dan sentiasa menjadi rujukan di sini.
“Keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia menyebabkan saya seorang sahaja daripada kumpulan guru tajaan kerajaan yang terus tinggal di Jepun,” katanya yang turut bertuah dapat menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang perbandingan budaya di International Christian University setelah menerima biasiswa Yayasan Koide.
Walaupun terpaksa mengambil keputusan yang berat, keengganan ibu kepada dua anak ini untuk pulang ke Malaysia ketika itu membuatkan beliau dapat melihat potensi besar peluang pekerjaan sebagai tenaga pengajar bahasa Melayu di luar negara yang sewajarnya direbut rakyat negara ini.
Justeru, Faridah mengharapkan pihak kerajaan atau universiti tempatan menghantar lebih ramai lagi orang Malaysia khususnya guru yang berkaliber dan berpengalaman untuk menyebarluaskan lagi bahasa Melayu di Jepun.
“Penerimaan warga Jepun terhadap bahasa Melayu juga lebih baik dan semakin mendapat tempat berbanding 20 atau 30 tahun dahulu. Memang ada bangsa lain boleh mengajar bahasa Melayu tetapi tatabahasanya tunggang-langgang, kosa kata kurang tepat serta mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing.
“Saya bimbang jika ada universiti atau sekolah di Jepun menutup kursus bahasa Melayu kerana kekurangan pengajar, satu kerugian buat Malaysia sekiranya kita tidak merebut peluang ini,” katanya yang baharu menyambung kontrak sebagai tenaga pengajar di Pusat Pengajian Bahasa dan Budaya di Tokyo University of Foreign Studies untuk tempoh empat tahun lagi.
Ditanya adakah beliau tidak berhasrat untuk kembali ke tanah air, Faridah berkata, selagi tenaga dan kepakarannya diperlukan di Jepun, beliau akan terus mencurahkan bakti sebagai pengajar bahasa Melayu sehingga ada pengganti yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial