MELAKA, 11 Mei (Bernama) -- Pelbagai program akan dijalankan sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China di Melaka, yang telah dipilih sebagai tuan rumah.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman berkata ia juga secara tidak langsung merancakkan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) selain dorongan kepada persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 kelak.
"Kita akan adakan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia di Melaka, yang juga sambutan TMM2024. Jadi kita boleh adakan juga perayaan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara ini yang terjalin sekian lama.
"Malah kapal layar Fu Ning ini juga adalah satu daripada yang kita akan paparkan untuk bukan saja buat penduduk di Melaka tetapi rakyat Malaysia. Ia adalah simbolik kepada hubungan diplomatik berkenaan," katanya ketika ditemui media di majlis Makan Malam Sambutan Kapal Layar Tradisional China Terbesar Dunia ‘Fu Ning’ di Pelabuhan Tanjung Bruas, Tanjung Kling di sini malam tadi.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, pemilik kapal layar Fu Ning Lin Chang Jiu dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Razak Abdul Rahman.
Beliau berkata Melaka dilihat mendahului dalam pelbagai aspek bagi sambutan Tahun Melawat Negeri yang turut melibatkan Perlis, Perak dan Kelantan yang berlangsung sepanjang tahun ini.
"Berbanding negeri lain, Melaka terus ke depan dan dapat dilihat sambutan di Melaka sangat mengujakan termasuk rakyat negeri ini pada setiap bulan, mereka mengambil bahagian dalam pelbagai program dianjurkan sempena TMM2024.
"Kita harap ia diteruskan dengan apa dirancang dan MOTAC akan terus membantu terutama kita mempunyai MOTAC di Melaka yang sangat aktif," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Melaka mampu dijadikan kayu pengukur dalam usaha dan persiapan negara melaksanakan Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti.
"... akan ada sambutan Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) pada 2025 dengan Melaka menjadi tuan rumah. Jadi Melaka mula dahulu dan ia menjadi dorongan kepada kita untuk teruskan usaha menjadi tuan rumah bagi acara penting pada 2025 itu dan seterusnya Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Sementara itu, Ab Rauf berkata pemilik Fu Ning sendiri berhasrat untuk membawa kegemilangan pelayaran Laksamana Cheng Ho kembali semula ke Melaka dan hasrat itu telah tercapai apabila kapal berukuran 41.6 meter panjang dan 12 meter lebar serta mempunyai ketinggian tiang utama setinggi 19 meter, berlabuh di Pelabuhan Tanjung Bruas sejak 1 Mei lepas.
"Kita sedang mengaturkan Fu Ning menjadi sebuah kapal dalam satu daripada perayaan sambutan ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China. Kita tunggu masa dari pihak Kementerian Luar dan pada masa sama kapal ini juga menjadi simbolik pelayaran Laksamana Cheng Ho yang datang ke Melaka sejak 600 tahun dahulu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial