KAMPAR, 11 Mei (Bernama) -- Perak menanam sebanyak 7.88 juta pokok setakat ini melebihi sasaran enam juta yang ditetapkan kerajaan Persekutuan melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata kempen yang dimulakan pada tahun 2021 itu sepatutnya menyasarkan tanaman semula pokok sebanyak dua juta setahun namun dalam tempoh tiga tahun negeri ini telah melebihi sasaran ditetapkan.
“Ia tidak termasuk 10,000 pokok (ditanam) oleh Aeon Credit Service (M) Berhad (Aeon Credit) hari ini, dengan kerjasama pelbagai pihak kita yakin sasaran 100 juta pokok boleh kita capai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemuliharaan Biodiversiti (Afforestation) Aeon Credit di Taman Alam Kinta, di sini hari ini.
Sementara itu, bagi mengekalkan biodiversiti alam semula jadi kerajaan negeri akan meningkatkan penguatkuasaan di hutan simpan kekal negeri bagi mengelak pencerobohan kawasan berkenaan.
Terdahulu pada Khamis lepas, lapan rakan masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Kangsar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Hutan Simpan Banding tanpa permit pada Mac lepas.
Sementara itu, Pengarah Urusan Aeon Credit Daisuke Maeda dalam ucapannya berkata program hari ini merupakan inisiatif kerjasama strategik untuk memulihkan biodiversiti di Taman Alam Kinta selaras dengan usaha berterusan Aeon Credit ke arah mewujudkan persekitaran lebih mampan untuk masyarakat setempat.
Beliau berkata projek dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC) dan FRIM Incorporated Sdn. Bhd itu menyasarkan menanam semula 10,000 pokok hutan spesies tempatan dan spesies daripada Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) serta spesies pokok buah-buahan menjelang September 2024.
"Kerjasama yang luar biasa ini menandakan permulaan perjalanan transformatif bagi menambah baik biodiversiti taman ini selain menyumbang ke arah tindakan perubahan iklim melalui sekuestrasi karbon," katanya.
Beliau berkata kumpulan itu juga akan bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan pokok-pokok ini selepas ditanam.
“Selepas 36 bulan, Aeon Credit akan menyerahkan pokok yang ditanam kepada PSPC yang bercadang untuk membangunkan kawasan itu menjadi destinasi ekopelancongan,” tambahnya.
Program hari ini turut melibatkan 600 sukarelawan termasuk pegawai kerajaan daripada agensi negeri, pelajar universiti tempatan serta pengurusan dan kakitangan kumpulan Aeon Malaysia.
Mereka bekerjasama menanam 2,000 pokok sebagai permulaan di kawasan konservasi taman itu yang merupakan bekas tapak lombong bijih timah dan kini menjadi habitat kepada lebih 150 spesies burung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial