KUALA PENYU, 11 Mei (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan dana RM300,000 bagi membiayai yuran usahawan yang menyertai kursus anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di Sabah dan Sarawak tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif itu bakal memanfaatkan 1,200 usahawan kedua-dua negeri yang berminat mengikuti kursus berkenaan dengan setiap peserta menerima tajaan RM250.
"Terdapat usahawan yang mempunyai pengetahuan terhad untuk membangunkan strategi perniagaan berkesan untuk bersaing di pasaran.
"Oleh itu, pendekatan pembangunan pengetahuan dan kemahiran usahawan diperlukan bagi menghasilkan perniagaan yang mempunyai daya saing kuat dalam pasaran," menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas merasmikan Karnival Tekun MADANI dan Pameran Satu Daerah Satu Industri di sini hari ini.
Beliau berkata pembiayaan itu akan memberi peluang serta galakan kepada usahawan di Sabah dan Sarawak menyertai progam latihan seterusnya menimba lebih banyak ilmu bagi memantapkan perniagaan masing-masing.
Ewon juga berkata Tekun Nasional telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM24.1 juta kepada 1,468 usahawan di Sabah bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM429,000 disalurkan kepada 41 usahawan dari Parlimen Beaufort.
Katanya sektor ekonomi tidak formal seperti penjaja dan peniaga kecil mempunyai potensi yang signifikan untuk menyumbang kepada ekonomi negara serta peluang pekerjaan kepada rakyat.
Ewon turut mengumumkan pelaksanaan Skim Pembiayaan Peralatan Perniagaan oleh Tekun Nasional bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan.
“Nilai pembiayaan yang diberikan ialah antara RM1,000 hingga RM20,000 dengan kadar keuntungan empat peratus setahun,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial