AM

Kemenangan Pang Isyarat Jelas Rakyat Yakin Pimpinan Kerajaan Perpaduan - Penganalisis

11/05/2024 11:53 PM

HULU SELANGOR, 11 Mei (Bernama) -- Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini merupakan isyarat jelas bahawa rakyat mahu wakil rakyat mereka sealiran dengan kerajaan negeri dan Pusat.

Penganalisis politik juga percaya rakyat di kawasan itu selesa dengan rekod cemerlang khidmat penyandang terdahulu Lee Kee Hiong dan kemenangan bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu membuktikan penduduk yakin dengan Kerajaan Perpaduan dan mahukan kesinambungan pembangunan.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata keyakinan pengundi kepada pimpinan Kerajaan Persekutuan dan negeri yang berhasil membawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kehidupan lebih harmoni dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini, menjadi faktor kejayaan Pang.

“Pengundi yakin Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri Selangor diketuai Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari itu amat berwibawa dalam mengemudi negara dan negeri ke landasan yang lebih baik,” katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Awang Azman berkata gerakan pihak tertentu yang menyeru masyarakat India memboikot PRK KKB juga dilihat tidak berjaya, sekali gus membuktikan pengundi di KKB bijak untuk menolak kempen berbaur perkauman, agama dan institusi diraja (3R).

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah Dr Jazimin Zakaria berkata keputusan positif dicatatkan Kerajaan Perpaduan itu membuktikan kematangan pengundi di DUN KKB dalam menilai isu yang dimainkan pembangkang sewaktu berkempen.

“Pengundi bijak menilai isi-isu yang dimainkan pembangkang adalah tidak kritikal, termasuk berkaitan pendidikan vernakular bila mana apa yang rakyat mahukan hanyalah keseimbangan dalam landskap politik negara,” katanya.

Pensyarah Kanan Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian pula berpendapat pemilihan calon yang tepat antaranya berkelulusan pendidikan yang baik, mempunyai pengalaman dalam soal pentadbiran kerajaan dan politik serta mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dan negeri, telah menyumbang kepada kemenangan PH di PRK KKB.

“Faktor lain yang menyumbang kepada kejayaan PH ialah kesepaduan dan komitmen semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang turun padang berkempen untuk memenangkan calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Pang menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan