HULU SELANGOR, 12 Mei (Bernama) -- Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) semalam, memberi mesej jelas bahawa dasar dibawa Kerajaan Perpaduan semakin diterima rakyat.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP Syahredzan Johan dalam kenyataan hari ini berkata sokongan rentas kaum yang diperoleh Pang juga, menunjukkan bahawa konfigurasi politik berteraskan perpaduan dan kebersamaan merupakan formula terbaik untuk Selangor dan negara.
“Kekalahan Perikatan Nasional (PN) di PRK Kuala Kubu Baharu, membuktikan bahawa kempen menggunakan isu 3R (raja, agama dan kaum) gagal menawan hati majoriti pengundi di DUN tersebut.
“Kekalahan ini seharusnya menjadi wake up call kepada PN untuk meninggalkan politik pecah-belah yang sering kali digunakan. Jelas bahawa politik seperti ini membawa pulangan yang kian berkurangan dan tidak mampu untuk menawan negeri seperti Selangor mahu pun negara,” katanya.
Ahli Parlimen Bangi itu berkata sokongan masyarakat hanya boleh dirangkul menerusi budaya politik kesederhanaan dan perpaduan.
Sementara itu, Setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub berkata keputusan PRK itu jelas membuktikan bahawa, rakyat di KKB menolak politik fitnah dan benci-membenci seperti yang dibawa pembangkang.
“Rakyat telah memilih cara berpolitik ‘kasih sayang dan beradab’ seperti yang dibawa oleh UMNO. Rakyat telah bosan dengan pembohongan pemimpin pembangkang dalam usaha untuk meraih sokongan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Pada PRK itu, Pang, 31, yang dipertaruhkan mewakili Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).
PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial