EKONOMI

Malaysia Atasi Thailand Sebagai Pasaran Automotif Terbesar Kedua Asean

17/05/2024 03:43 PM

BANGKOK, 17 Mei (Bernama-VNA) -- Malaysia telah mengatasi Thailand untuk menjadi pasaran automotif terbesar kedua di Asia Tenggara, selepas Indonesia, menurut portal berita Jepun, Nikkei Asia.

Data jualan yang dikeluarkan oleh kumpulan industri di ketiga-tiga negara itu serta Filipina dan Vietnam menunjukkan bahawa angka jualan Malaysia, yang sebelum ini berada di tempat ketiga untuk waktu yang lama, mengatasi Thailand untuk tiga suku tahunan berturut-turut sehingga Januari-Mac 2024, lapor Agensi Berita Vietnam yang memetik laporan portal berkenaan.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia, jualan kereta meningkat lima peratus pada suku pertama daripada tahun sebelumnya kepada 202,245 kenderaan. Ini berikutan peningkatan 11 peratus pada tahun 2023 kepada rekod 799,731 kenderaan.

Pengecualian cukai jualan untuk kereta buatan tempatan -- sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi kerajaan -- telah memberikan dorongan kepada jenama kereta nasional Perodua dan Proton, yang memegang kira-kira 60 peratus daripada bahagian pasaran.

Angka di Filipina meningkat 13 peratus dalam suku pertama, tertinggi antara lima negara berkenaan, setelah inflasi berkurangan kepada sekitar empat peratus pada akhir 2023 dan perbelanjaan pengguna kekal kukuh.

Jualan kereta di Thailand dan Indonesia telah merosot masing-masing sehingga 25 peratus dan 24 peratus pada suku pertama berbanding tahun sebelumnya.

Di Thailand, ia disebabkan oleh peningkatan pinjaman kereta tidak berbayar dan penggunaan umum yang tidak stabil manakala di Indonesia faktor penurunan disumbang oleh peningkatan kadar faedah.

-- BERNAMA-VNA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan