FOKUS BERNAMA

Provinsi Hainan, "Hawaii China" Yang Tidak Pernah Tidur

23/05/2024 01:53 AM
Daripada Kurniawati Kamarudin

Keunikan seni bina warisan serta khazanah sejarahnya dari Tembok Besar China, monumen Tiananmen mahupun Kota Larangan membuatkan pelancong seluruh dunia berpusu-pusu datang, di samping untuk menikmati kepelbagaian hidangan makanan.

Namun mungkin ramai tidak menyedari, terdapat satu lagi ‘permata tersembunyi’ yang ada di China selain daripada kecomelan haiwan pandanya yang pasti mampu menambat hati sesiapa sahaja untuk menjadikan negara dengan penduduk seramai 1.3 bilion ini sebagai antara destinasi pelancongan mereka.

Terletak di provinsi paling selatan di China, populariti Hainan hakikatnya, tidaklah begitu hebat di mata pelancong sepertimana Beijing, Shanghai mahupun Chengdu yang terletak di barat daya negara ini yang sering kali menjadi tumpuan ramai. 

pic-2

Akan tetapi, wilayah Hainan yang merangkumi beberapa pulau ini turut menjadi pilihan pencinta alam semula jadi, khususnya yang dambakan keindahan pantai sehingga ia diberi jolokan “Hawaii of China” kerana suasana pemandangan serta pantainya seakan-akan destinasi popular di Amerika Syarikat itu.

Beriklim tropika dengan musim panas sepanjang tahun biarpun China merupakan negara beriklim empat musim, ternyata Hainan bukan sahaja menjadi tarikan bagi mereka yang ingin lari daripada musim sejuk, tetapi juga turut menjadi lokasi peminat sukan luncur air dan aktiviti skuba.

pic-3

Penulis berpeluang menjejak kaki ke pulau yang juga terkenal dengan jolokan “bandar bunga kertas”  atau Bougainvillea ini bersama media China dan 11 media utama dari sembilan buah negara ASEAN dalam program ‘China Up Close’. Lawatan dari 22 hingga 28 April itu sememangnya membuka mata penulis akan potensi Hainan untuk dinobatkan sebagai antara destinasi terkemuka pelancongan China. 

Sememangnya, wilayah ini tidak hanya kaya dengan keindahan pantainya yang terletak di Teluk Yalong sehingga ke Teluk Sanya, akan tetapi lebih daripada itu, yang pastinya mampu memberikan pengalaman berharga bagi mereka melancong ke Hainan.

 

APA MENARIKNYA BUNGA KERTAS HAINAN?

Dengan keluasan 35,400 kilometer persegi serta jumlah penduduk lebih 10 juta orang, menjejaki Haikou iaitu ibu kota Hainan mahupun bandar lain yang terdapat di wilayah ini seperti Danzhou, Wenchang, Dongfong serta Sanya, mesti pandangan anda tidak akan terlepas daripada tertancap bunga ini.

Berada di mana-mana sahaja, boleh dikatakan bunga kertas bukan sahaja ditanam di sepanjang jalan, kawasan luar bangunan, pejabat mahupun taman oleh majlis perbandarannya, akan tetapi juga, setiap rumah di wilayah ini nampaknya seolah-olah ‘wajib’ mempunyai tanaman bunga itu. 

pic-4

Dengan kepelbagaian warna bunga kertas yang disusun atur dengan landskap menarik, sudah pasti ia satu pemandangan yang mempersonakan. Terasa jauh bezanya berbanding di tanah air apabila bunga kertas seolah-olah tidak dihargai. Bahkan penulis bersama rakan lain begitu teruja untuk berootd/bergambar mahupun mengambil video sebagai kenangan dengan berlatar belakangkan mungkin ribuan atau jutaan bunga kertas yang terhampar indah.

“Bougainvillea adalah bunga ikonik untuk wilayah Hainan dan kerana itu, anda akan melihat bunga ini di mana-mana sahaja dan ditanam di setiap rumah. Ia juga bunga bandar bagi lebih 30 bandar di China,” kata Lyu Qing dalam bahasa Melayu tatkala menyedari keterujaan kami sebaik melihat kepelbagaian spesies dan warna bunga kertas tersebut.

Wartawan dari Jabatan Bahasa Melayu, Kumpulan Media China  yang menjadi penterjemah sepanjang program mengenali Hainan ini berkata, bunga kertas mempunyai nilai serta potensi sangat tinggi dalam bidang perubatan, makanan serta pemulihan alam sekitar dan kerana itu, ia menjadi tumpuan pentadbiran wilayah ini untuk memanfaatkannya.

 

TAMAN SANGAT INDAH

Dengan nilai keluaran tahunan tertinggi di wilayah ini iaitu sebanyak 760 juta yuan (RM 49.2 juta) bagi tanaman tersebut, sebuah Taman Bougainvillea diwujudkan di Sanya yang terletak bersebelahan Bandar Sains dan Teknologi Teluk Yazhou. 

Berkeluasan 126 ribu meter persegi dengan menghimpunkan lebih daripada 450 spesies sumber plasma germa bunga kertas dari seluruh dunia dalam satu taman, ia juga berfungsi sebagai pusat pameran penyelidikan bunga kertas berkenaan dalam usaha mengkomersialkannya. 

“Taman ini dibuka kepada orang awam dan pelancong sejak Mac lepas dan ia bukan sahaja mengkaji kepelbagaian spesies Bougainvillea mahupun melihat kepentingannya dari sudut ekologi dalam membaik pulih alam sekitar tetapi lebih daripada itu. 

“Ini kerana penyelidikan juga dibuat di sini untuk mengenal pasti potensinya dalam bidang kosmetik terutama pada warnanya yang difahamkan boleh dijadikan pewarna gincu serta produk kecantikan lain,” kata Lyu Qing.

pic-5

Tidak hanya itu sahaja kerana ada sesuatu lagi yang lebih istimewa dengan taman ini apabila pengunjung singgah di taman ini yang terletak di tengah-tengah bangunan Pusat Pameran Expo Penyelidikan bunga tropika tersebut.

Pengunjung berpeluang mengenal dengan lebih dekat lagi Bougainvillea menerusi kaedah lebih interaktif menggunakan teknologi terkini yang pastinya tidak membosankan sesiapa sahaja khususnya kanak-kanak. 

Menjejakinya buat pertama kali, penulis bersama rakan lain terasa denyut keterujaannya sebaik melangkah ke dalam kawasan pusat pameran kerana ia tidak sekadar pameran biasa sepertimana yang selalu dikunjungi dengan barangan tersusun kaku dalam gelas kaca lutsinar.

Ruangan pameran ini seolah-olah ‘bernyawa’ menerusi penggunaan teknologi Augmented Reality (AR) yang membolehkan pengunjung menerokai kepelbagaian jenis bunga kertas dengan landskap menarik dalam bentuk maya tiga dimensi.

pic-6

Bagaikan sebuah taman 'hidup’ dengan jutaan bunga kertas berbagai warna yang mengelilingi pengunjung, menariknya, paparan tiga dimensi itu juga turut membolehkan mereka untuk berjalan di atasnya. 

“Terasa seperti berada di satu taman yang sangat indah dan pengunjung juga boleh menaiki basikal simulasi untuk menerokai keindahan taman ini.

“Tak sangka teknologi ini membolehkan kita rasa lagi seronok nak kenal bunga kertas ,” kata wakil media dari Malaysia, Khairil Bashar Kamisan, 39, yang turut tidak terkecuali untuk berootd di expo berkenaan.

 

INDAHNYA MALAM!

Juga ingin dikenali sebagai zon ekonomi dan hab inovasi global, pentadbiran Hainan, hakikatnya, tidak hanya tertumpu kepada penyelidikan bunga berkenaan semata-mata tetapi juga turut memberi penekanan dalam bidang pertanian lain seperti tanaman pokok kelapa mahupun marin.

“Sanya, bandar paling selatan di Hainan, tidak hanya mempunyai pelbagai pantai menarik tetapi juga pusat inovasi dan penyelidikan sehingga diwujudkan Bandar Sains dan Teknologi Teluk Yazhou yang turut menjalankan kajian bioteknologi serta teknologi tenaga boleh diperbaharui di rantau ini,” kata Lyu Qing.

Dengan adanya bandar tersebut, beliau berkata, Hainan membuka pintu kepada syarikat, penyelidik dan pelabur untuk bekerjasama dalam membangunkan inovasi yang boleh membawa manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat.

Ini termasuklah menempatkan kawasan khas bagi syarikat permulaan dan inkubator perniagaan sebagai sokongan kepada usahawan muda untuk mengembangkan idea mereka menjadi produk dan perkhidmatan yang boleh dipasarkan sekali gus berpotensi merancakkan nilai pelancongan wilayah ini. 

pic-7

“Hainan amat memberi fokus kepada penyelidikan dan teknologi inovasi bagi mengangkat wilayah ini kepada masyarakat luar dengan memanfaatkan sumber yang ada untuk tujuan pelancongan, ekonomi dan ini merangkumi semua termasuklah pantainya dan pertanian,” tambah Lyu Qing. 

Kerana itu jugalah, wilayah ini turut memberi tumpuan kepada pelancongan cruise/kapal layar dan bagaikan tidak lengkap sekiranya persinggahan di Sanya tidak melayari keindahan jajaran pantainya sepanjang 263 kilometer itu dengan menaiki cruise/kapal layar. 

Diberi kesempatan menerokai pemandangan indah Sanya pada waktu senja dan malam dengan menaiki kapal layar dari Pelabuhan Pulau Phoenix, badan yang terasa begitu letih kembali segar tatkala menghirup udara malam yang dingin, dengan sajian limpahan gemerlapan cahaya bangunan ikonik di sekitarnya.

 

BANDAR TIDAK PERNAH TIDUR

“Berbanding bandar lain di Hainan, Sanya adalah kawasan pengembangan utama wilayah ini kerana turut terdapat Pusat Perniagaan Sanya (CBD) selain daripada bandar teknologi dan inovasi. 

“CBD memberi fokus kepada perdagangan moden, kewangan, pelancongan kapal pesiar dan kapal layar, pusat budaya serta rekreasi sekali gus membuka ruang lebih luas dalam pengembangan pelabuhan perdagangan bebasnya,” katanya. 

Tahun lepas sahaja, tidak kurang daripada 220 buah kapal persiaran yang keluar masuk di pelabuhan ini termasuk 18  buah kapal pesiaran asing dengan jumlah kedatangan 191,700 orang, meningkat 433 peratus daripada tahun sebelumnya.

Sememangnya, Hainan tidak hanya semata-mata menjanjikan keseronokan menikmati kekayaan alam semula jadinya kerana ia turut menjadi tumpuan bagi mereka yang inginkan aktiviti mencabar seperti mendaki gunung di bahagian utara bandar Sanya. 

pic-8

Bahkan ia juga menjadi tumpuan bagi mereka yang gemar membeli-belah atau ingin mendapatkan barangan berjenama dengan harga tanpa cukai kerana mempunyai Kompleks Beli-Belah Bebas Cukai Antarabangsa Sanya. 

Terletak di Teluk Haitang di bandar Sanya, Kompleks ini adalah premis bebas cukai yang kedua terbesar di rantau Asia yang pastinya menawarkan pelbagai pilihan barangan berjenama sekali gus membuatkan sesiapa sahaja menjadi rambang mata. 

“Kerana itulah, Sanya dikenali sebagai bandar tidak pernah tidur kerana ia menjadi lokasi untuk semua, pelancongan alam semula jadi, pusat beli-belah serta aktiviti perdagangan dan perniagaan,” kata Lyu Qing.

 

JUMPA LAGI!

Menawarkan kategori pelancongan yang pelbagai, wilayah ini turut  memenuhi kumpulan pelancongan mewah menerusi pusat peranginan paling ikonik, Atlantis Sanya, sebuah hotel dan kompleks rekreasi yang memberikan pengalaman unik untuk pengunjung meliputi semua peringkat umur.

Ia adalah sebahagian daripada jenama Atlantis yang terkenal di mata dunia yang turut terdapat di Dubai dan Bahamas, dikenali dengan identitinya bertemakan laut serta mitologi kota Atlantis yang lenyap, direka bentuk dengan penuh kemewahan serta menjanjikan eksplorasi hidupan marin menakjubkan. 

Dengan lebih 65,000 hidupan marin, kompleks rekreasi turut dihubungkan dengan hotel tersebut yang dinamakan ‘The Lost Chambers Aquarium’. Keterujaan penulis dan rakan-rakan media yang lain memuncak sebaik melangkah ke dalamnya. 

Kami berpeluang menyaksikan kepelbagaian spesies marin yang biasanya ditemui di laut dalam ketika melalui laluan terowong kaca, membuatkan kami seolah-olah seperti ‘menyelam’ bersama hidupan tersebut. 

Ini kerana, pemandangan kehidupan marin di akuarium ini tidak hanya mengelilingi pengunjung di bahagian kiri kanan mereka sahaja, tetapi juga turut melangkaui bahagian atas, sekali gus memberikan pengalaman baharu dan menarik bukan sahaja buat kanak-kanak tetapi juga orang dewasa. 

Paling mengujakan, apabila melihat aksi tiga ekor ikan paus yang cukup ‘mesra’ terutamanya dengan kanak-kanak apabila menghampiri cermin akuarium di tempat kanak-kanak berdiri seolah-olah ingin bergurau dan mengajak bermain bersama.

pic-9

Bagi mereka yang ingin menerokai pengembaraan di The Lost Chambers Aquarium, anda boleh membeli tiket dengan harga 190 hingga 220 Yuan (RM124 -RM144).

Sememangnya, banyak lagi yang menarik mengenai wilayah ini yang juga turut terkenal dengan kepelbagaian buah tropikanya yang turut boleh ditemui di Malaysia seperti mangga, betik, jambu air, markisa, pisang, rambutan dan nanas.

Namun, pengalaman selama seminggu di Hainan, banyak menjentik mata penulis yang sebelum ini sudah mengunjungi beberapa tempat menarik di China bahawa wilayah itu juga sebenarnya mempunyai potensi besar dalam industri pelancongan. 

Pastinya, seminggu berada di sana adalah tidak cukup dan penulis kini yang merindui suasana dan pemandangan indahnya, sudah tentu akan kembali lagi ke wilayah tersebut. Jumpa lagi Hainan!

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan