AM

Hma 2024: Sekolah Magis Kewangan Bnm Mag Didik Pengunjung Mengenai Kewangan

18/05/2024 12:25 PM

GEORGE TOWN, 18 Mei (Bernama) -- Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) memberi peluang kepada masyarakat untuk mengetahui mengenai ‘dunia kewangan’ dan sejarah monetari Pulau Pinang sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa (HMA) 2024.

Pengarah BNM MAG Noreen Zulkepli berkata menerusi reruai ‘Sekolah Magis Kewangan: Ketahui Rahsia Pengurusan Kewangan’, pihaknya membantu untuk mendidik pengunjung tanpa mengira usia mengenai penguasaan pengurusan kewangan yang mampu mengubah kehidupan seseorang menjadi lebih baik.

“Para pengunjung juga boleh belajar cara mengenal pasti dan mengelakkan penipuan kewangan, memperoleh pemahaman asas berkenaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan mempelajari tip-tip praktikal untuk menguruskan kewangan dengan bijak,” katanya kepada Bernama.

Reruai itu terbahagi kepada empat seksyen merangkumi sejarah mata wang Pulau Pinang, isu scammer, pengurusan wang, dan seksyen yang mempamerkan 38 karya seni dihasilkan oleh 20 orang pelukis dari negeri ini. 

Noreen berkata BNM MAG turut mengadakan program ‘MAG Day Out’ untuk memberi pendedahan mengenai wang ringgit dan literasi kewangan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Bumbong Lima, Kepala Batas, semalam.

Beliau berkata ia meliputi dua aktiviti iaitu program pendidikan ‘Kenali Wang Kertas Anda’ untuk pelajar Tingkatan Empat dan aktiviti mewarna batik dengan elemen-elemen wang kertas bagi pelajar Tingkatan Satu dan Dua.

Sementara itu Eksekutif Bahagian Pendidikan Muzium BNM MAG Mohd Faiz Naim Hassan berkata pihaknya turut memberi penjelasan mengenai ciri-ciri keselamatan wang termasuk menggunakan sinar UV untuk meneliti wang kertas.

“Kita ceritakan juga secara interaktif ciri-ciri keselamatan yang ada pada wang kita,” katanya.

BNM MAG menampilkan galeri-galeri yang menyelami ekonomi Malaysia dan peranan BNM dalam pembangunan ekonomi serta landskap kewangan negara sejak zaman sebelum kemerdekaan selain menampilkan koleksi khazanah numismatik dan koleksi karya seni dinamik dari Malaysia serta rantau ASEAN.

Festival HMA 2024 berlangsung selama 12 hari sehingga 22 Mei ini di Dewan Sri Pinang, di sini, menyaksikan penyertaan 38 agensi, institusi serta muzium, dan ia dijangka menarik kunjungan 200,000 pelawat secara fizikal dan juga secara dalam talian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan