AM

KONTRAKTOR, OPERATOR MENARA TELEKOMUNIKASI PERLU JALIN KERJASAMA - FAHMI

18/05/2024 02:39 PM

TAWAU, 18 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta kontraktor dan operator menara telekomunikasi supaya sentiasa berhubung dan bekerjasama bagi memastikan segala permasalahan dapat ditangani segera, sekali gus mempercepatkan pengoperasian kemudahan itu.

Beliau berkata penyelarasan pengoperasian sesebuah menara telekomunikasi antara kedua-dua pihak perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan sebelum menara telekomunikasi siap bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan telekomunikasi lebih baik.

“Ia penting untuk menyelesaikan masalah yang bakal dihadapi agar menara berkenaan dapat beroperasi dengan cepat dan baik. Kita tidak mahu masalah antara pihak pembina dan pihak yang menjalankan operasi mengganggu proses pengoperasian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pengoperasian menara telekomunikasi di bawah projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kampung Mangga di sini hari ini.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan projek JENDELA siap serta berjalan lancar.

"Saya telah bertemu dengan semua pihak yang terlibat dan mereka telah memaklumkan menjelang hujung tahun ini, keseluruhan hampir 400 menara (di Sabah) akan disiapkan…apa pun yang berlaku kita mahu ia disiapkan, dan tindakan kita kenakan sekiranya ia tidak dapat disiap seperti yang dijanjikan,” katanya.

Beliau juga berkata pihaknya merancang membina 647 menara baharu, di samping sedang menaik taraf 4,486 stesen pemancar sedia ada, dan akan melengkapkan 303,569 premis dengan sambungan gentian optik di seluruh Sabah.

Fahmi berkata 259 stesen pemancar telah siap dinaik taraf sepenuhnya manakala 18,231 premis telah dilengkapi dengan sambungan gentian optik.

“Perkhidmatan jalur lebar melalui satelit Broadband Wireless Access (BWA) akan disediakan di 138 lokasi di kawasan pedalaman,” katanya.  

Mengulas mengenai tinjauan menara telekomunikasi di Kampung Mangga berkenaan, Fahmi berkata projek itu diserahkan pada 24 April lepas dan telah beroperasi pada pada 25 April.

“Tempoh masa berkenaan sangat cepat dan saya telah meminta agar projek ini dijadikan contoh agar penduduk di kawasan berkenaan segera menikmati kemudahan internet,” katanya.

Sementara itu Fahmi meminta MCMC mengenal pasti langkah yang perlu diambil untuk menyelasaikan masalah ketiadaan akses internet di beberapa kawasan di laluan utama di Tawau.

“Tadi saya sempat bertelefon di laluan dari bandar Tawau ke lapangan terbang dan ada tempat-tempat yang tiada line, atau ada line namun hanya 2G… jadi saya minta kita segera kenal pasti apa yang kita perlu lakukan untuk menyelasaikan masalah berkenaan,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan