AM

MALAYSIA ANTARA NEGARA KOMANWEL TERAJUI TRANSFORMASI DIGITAL, AI

18/05/2024 10:25 PM

PUTRAJAYA, 18 Mei (Bernama) -- Malaysia disifatkan sebagai antara negara Komanwel yang menerajui pembangunan transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata perkara itu antara yang dibangkitkan Persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Komanwel (CCEM) ke-22 yang dihadirinya di Marlborough House, London, United Kingdom dari 16 hingga 17 Mei lepas.

“Mesyuarat yang diadakan itu juga bersetuju mengambil Malaysia sebagai satu daripada negara contoh yang mempunyai amalan terbaik bagi memastikan aspirasi digital dan AI dijayakan.

“Antara syor yang dipersetujui ialah Komanwel perlu menjadi entiti penting dalam bidang pendidikan dan antara cadangannya ialah mewujudkan Commonwealth AI Coordinating Program sebagai langkah membantu 56 negara anggota Komanwel yang kebanyakannya masih berhadapan masalah infra dan kemudahan asas Internet,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

CCEM menghimpunkan menteri-menteri negara anggota Komanwel bagi membincangkan mengenai perihal pendidikan dan perkongsian bersama bagi meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan negara  anggota. 

Pada persidangan itu, Zambry turut membangkitkan mengenai pendekatan terbaik bagi menarik minat terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kaedah pembelajaran pedagogi yang lebih efektif selain mengutarakan isu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)  yang menjadi tumpuan ramai.

“Saya berkongsi dengan rakan negara anggota Komanwel bahawa Malaysia sedang bergerak ke hadapan dalam bidang TVET dan telah menubuhkan Majlis TVET Negara bagi menyelaras setiap bahagian dan agensi yang terlibat dengan TVET.

“Saya menyentuh berkenaan empat perkara tindakan yang perlu diambil berkenaan TVET iaitu komitmen kerajaan dan pihak berkaitan; penglibatan pelbagai peringkat kumpulan dan segmen masyarakat; kualiti falsafah pendidikan dan nilai kemanusiaan (etika),” katanya.

Beliau berkata CCEM kali ini turut memperlihatkan kesungguhan semua negara anggota untuk memastikan pendidikan di setiap negara dapat membangun bersama terutamanya dalam mengejar kepantasan  kemajuan dunia teknologi.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan