AM

Konflik Palestin: Johor Gesa Gencatan Senjata Serta-merta Di Gaza

19/05/2024 03:44 PM

ISKANDAR PUTERI, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan Johor hari ini menggesa agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta di Semenanjung Gaza bagi menamatkan penderitaan rakyat Palestin yang tidak bersalah.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya juga menuntut keamanan, keadilan dan kehidupan yang selamat diberikan kepada rakyat negara itu.

"Sudah 225 malam mereka dihujani bedilan bom dan peluru yang bertali arus. Gaza kini menjadi tanah perkuburan bagi kanak-kanak tidak berdosa. Setiap 10 minit, nyawa seorang kanak-kanak diragut Zionis Israel. Israel mesti hentikan tindakan rakus, tidak ubah umpama haiwan, yang mereka lakukan di Gaza.

"Gencatan senjata mesti dilaksanakan serta-merta. Saya mengajak ahli Dewan untuk bangun dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada saudara-saudara kita di bumi suci Palestin yang sedang bertarung nyawa," katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Onn Hafiz yang juga Ahli DUN Machap berkata, dalam membicarakan pelbagai hala tuju dan strategi untuk mengangkat negeri dan negara ini ke arah lebih maju, kita tidak seharusnya alpa dan leka terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin.

“Kepada saudara-saudara kita dan seluruh penduduk Palestin, rakyat Johor dan Malaysia berdiri teguh bersama anda. Dunia mestilah bekerjasama ke arah gencatan senjata di Gaza dan mengakhiri penderitaan dan jumlah kematian yang tidak terkira lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah,” katanya.

Pertempuran antara Palestin dan rejim Zionis, yang kini memasuki tempoh lebih tujuh bulan sejak 7 Okt tahun lepas, kian memuncak dengan pencerobohan terbaharu Israel ke atas Rafah yang meragut lebih 35,000 nyawa rakyat Palestin sehingga kini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan