AM

Bernama Perlu Kuasai Ai Untuk Injak Ke Hadapan, Terus Kekal Relevan

20/05/2024 10:18 AM

Oleh Afifitri Muhammad & Nur Natasha Aida Ismail

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Menginjak usia 57 tahun hari ini, pastinya bukanlah satu tempoh yang singkat dan hakikatnya pelbagai cabaran telah dihadapi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam mengemudi lima dekad perjuangannya di persada negara, khususnya dalam menyebar luas inisiatif kerajaan dan menyuburkan minda rakyat.

Meskipun tonggak utama bertukar ganti, masing-masing dengan strategi tersendiri, namun perjuangan tetap sama iaitu untuk memastikan Bernama kekal relevan sebagai pilihan utama masyarakat dalam mendapatkan berita yang sahih dan tepat. 

Selangkah demi selangkah, pelbagai pembaharuan dilakukan. Daripada hanya sekadar berita bergenrekan politik, semasa, sukan, jenayah mahupun mahkamah, agensi berita ini terus gagah ke hadapan dengan menyuntik rencaman pembaharuan. 

Bersifat lebih terbuka, Bernama melebarkan sayap pemberitaan yang turut mencakupi berita berbentuk ringan menerusi meja Gaya Hidup berbanding sebelum ini yang lebih terarah kepada pelaporan ‘hard news’, selain memberi penekanan kepada wartawan data dan multimedia. 

Semua usaha ini bagi memastikan Bernama tidak ketinggalan dalam persaingan menambat hati pembaca, namun beberapa bekas dan pengamal media berpandangan ‘sengatannya masih belum cukup berbisa’ yang melihat Bernama, antaranya perlu menerapkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses pemberitaan. 

Apatah lagi, beberapa media tempatan ketika ini semakin agresif ‘melabur’ bagi melengkapkan petugas mereka dengan konsep pelaporan berkenaan dan bagi beberapa bekas dan pengamal media ditemu ramah, mereka berpendapat Bernama juga perlu berani melakukan pelaburan serupa. 

Jika tidak dilakukan segera, dibimbangi kemungkinan besar pengaruh Bernama akan luput dan tidak lagi relevan, kata bekas Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Beliau yang telah berkhidmat dengan agensi pertubuhan berita negara ini selama 39 tahun, bagaimanapun tidak menafikan Bernama telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dalam menyediakan laporan berita berwibawa dan dipercayai untuk kekal relevan serta diterima baik semua pihak.

“Cabaran bakal dihadapi Bernama ialah teknologi media baharu seperti AI yang tidak boleh dielakkan. Dalam hal ini, Bernama harus melengkapkan petugasnya dengan ilmu baharu ini, jika tidak, akan membantut pertumbuhannya dan ditinggal pesaingnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tidak sekadar teknologi, Zakaria juga melihat agensi berita ini perlu mencipta ‘formula baharu’ dengan teknik pelaporan ‘luar kotak’, lebih terbuka, kreatif, meliputi semua aspek yang tidak hanya tertumpu hebahan maklumat kerajaan tetapi juga suara serta rentak hati rakyat bagi manfaat semua. 

Memahami cabaran dihadapi media ketika ini begitu tantang, rumit dengan pelbagai desakan dan tekanan pelbagai pihak termasuk kemunculan ‘wartawan nyamuk’, beliau berkata Bernama hendaklah terus memelihara reputasinya sebagai agensi berita negara diyakini. 

Sementara itu, Pengarang Urusan New Straits Times Press Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata Bernama memainkan peranan penting sejak penubuhannya pada 20 Mei 1968 dalam membekalkan berita yang merangkumi pelbagai bentuk sama ada menerusi portal, video, radio mahupun digital. 

“Bernama dari dahulu lagi, memang pantas dan cepat selain beritanya digunakan semua media. Bernama juga sentiasa kekalkan fungsinya menyalurkan berita yang tepat, diyakini dan relevan kepada pembaca serta pelanggannya daripada agensi media lain,” katanya. 

Biarpun begitu, beliau juga sepertimana Zakaria yang melihat agensi ini harus bergerak seiring dengan mengadapatasi teknologi dalam operasinya khususnya transformasi dalam penyampaian berita serta bahan visual.

“Bernama perlu melabur untuk meningkatkan operasinya dengan kelengkapan lebih canggih di bilik berita dalam membekalkan gambar dan berita lebih baik sejajar perkembangan teknologi terkini,” katanya. 

Bekas Timbalan Ketua Pengarang Bernama (Perkhidmatan Berita Ekonomi) Mikhail Raj Abdullah berkata pematuhan Bernama terhadap prinsip asas kewartawanan yang terdiri daripada lima ‘W’ dan satu ‘H’ telah meningkatkan kepentingannya dalam percambahan rancak media sosial, blog, vlog, wartawan rakyat dan pempengaruh, yang mungkin mempunyai pemahaman mereka tersendiri tentang maksud berita.

“Tidak kurang pentingnya peranan agensi berita ini untuk menentang serangan berita palsu dan salah, penyampaian maklumat mengelirukan dan palsu, serta visual yang dimanipulasi yang boleh dilakukan menerusi kecerdasan buatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Meraikan ulang tahun Bernama, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Bernama memandangkan peranannya amat penting untuk memastikan penyebaran berita yang boleh dipercayai dan mengekalkan perpaduan masyarakat majmuk negara walaupun menghadapi cabaran besar dalam industri media,” katanya.

Bernama ditubuhkan pada 1967 di bawah Akta Parlimen dan mula beroperasi pada 1968 dengan perkhidmatan teks berita serta berkembang kepada perkhidmatan foto sebelum mengendalikan stesen radio pada 2007, televisyen pada 2008 dan terkini media digital.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan