AM

Pemangku Raja Perlis Seru Semua Pihak Main Peranan Capai Transformasi Pendidikan Berkualiti

23/05/2024 06:37 PM

KANGAR, 23 Mei (Bernama) -- Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru semua pihak supaya memainkan peranan bagi mencapai transformasi pendidikan berkualiti dan berupaya memberikan pendidikan yang bermakna dan berimpak tinggi kepada generasi pewaris negara. 

“Guru-guru juga perlu menyahut cabaran ini dengan melengkapi diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan kompetensi berkaitan pedagogi dan pengurusan pengajaran serta pembelajaran yang berkualiti, berkesan serta bermakna kepada murid agar setanding dengan rakan sebaya mereka di negara serantau,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Istana Arau itu memaklumkan Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein di sekolah tersebut di Arau hari ini.

Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, sekolah adalah wadah memperolehi pengetahuan, kemahiran dan nilai melalui kurikulum kebangsaan yang dirangka khusus untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi serta jasmani sebagaimana terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Baginda turut bertitah menyeru pihak Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Perlis serta pihak sekolah bergerak seiring, sederap dan seirama untuk memperkukuhkan sokongan kepada guru-guru melalui program peningkatan kompetensi yang berkesan berdasarkan pengalaman dan keperluan mereka.

“...serta mengambil segala inisiatif untuk menggembleng tenaga bagi merapatkan kesenjangan literasi di kalangan murid dalam memastikan tiada murid yang tercicir daripada dunia pendidikan,” titah baginda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan