AM

Cadangan Wujud Terminal Khas Teruskan Kesinambungan Kemudahan Diperoleh Jemaah Haji 

24/05/2024 05:32 PM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 24 Mei (Bernama) -- Cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mewujudkan terminal khas jemaah haji dan umrah di Kuala Lumpur bakal meneruskan kesinambungan kemudahan yang telah diperoleh jemaah Malaysia, kata Ketua Rombangan Haji 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata secara umumnya Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik sebarang usaha menambah baik perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia termasuk dalam hal berkaitan jemaah umrah.

"Kita menyambut baik cadangan ini kerana ini adalah kesinambungan terhadap kemudahan yang telah dinikmati jemaah haji Malaysia sejak dari 2017 lagi antaranya projek Makkah Route dengan jemaah haji dapat melalui pemeriksaan Imigresen Arab Saudi dari Malaysia lagi.

"Setakat ini belum ada lagi mana-mana negara yang mempunyai terminal khas seperti ini dan untuk kemudahan Makkah Route ini hanya ada tujuh negara sahaja yang menerima kemudahan tersebut," katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini hari ini.

Semalam Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan memberi cadangan supaya satu terminal khas untuk jemaah haji dan umrah diwujudkan di Kuala Lumpur.

Loke berkata langkah itu dapat membantu melancarkan proses penerbangan ke Jeddah atau tempat lain di Arab Saudi dengan pelepasan imigresen negara berkenaan boleh dibuat di Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Tanah Suci dan berharap kemudahan itu juga dapat diperluas kepada jemaah umrah sepanjang tahun.

Syed Saleh berkata cadangan itu sedang dibincang secara teliti di peringkat kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pengangkutan; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta TH bersama kerajaan Arab Saudi. 

Malaysia merupakan negara pertama terpilih menikmati kemudahan Makkah Route yang disediakan kerajaan Arab Saudi dengan projek rintis bermula pada 2017 sebelum turut ditawarkan kepada Pakistan, Indonesia, Maghribi, Bangladesh, Turki dan Ivory Coast. 

Inisiatif ini membolehkan jemaah haji tidak lagi perlu bersusah payah melalui pemeriksaan Imigresen Arab Saudi sebaik tiba di negara itu, sebaliknya ia dilakukan lebih awal di pintu pelepasan negara masing-masing sebelum menaiki pesawat.

Sementara itu Syed Saleh berkata 53 penerbangan akan berlepas dari Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah bermula hari ini dengan penerbangan pertama membawa 283 jemaah haji selamat tiba pada 9.01 pagi tadi (waktu Arab Saudi). 

"Setakat tengah hari semalam, 43 daripada 100 penerbangan sewa khas telah berlepas dari tanah air dengan 12,686  jemaah haji telah tiba di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

"Daripada jumlah itu 5,380 jemaah haji kini berada di Madinah manakala 7,306 jemaah lagi di Makkah dan mereka sedang sibuk dengan pelaksanaan ibadah serta mengikuti pelbagai aktiviti yang dirancang TH sebelum menunggu hari wukuf di Arafah nanti," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan