JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS ANTARA EMPAT LELAKI DIDAKWA ROMPAK DUA WARGA BANGLADESH

24/05/2024 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Empat lelaki termasuk seorang anggota polis antara yang didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua lelaki warga Bangladesh, dua minggu lepas.

Di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, Koperal Norizam Ambiah, 34, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas menyamun barang kemas termasuk rantai dan gelang tangan bernilai RM264,000, wang tunai RM4,202, sebuah telefon bimbit, visa dan kad Touch N Go milik Arif Hossain serta barang kemas bernilai RM231,000 dan pelbagai barangan lain termasuk wang tunai RM3,600 dan enam telefon bimbit milik Shakel Ahmed.

Kejadian itu didakwa dilakukan di kaunter parkir kereta di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Munshi Abdullah di sini, pada 1.05 petang, 11 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan ikat jaminan, pihaknya mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Harcharanjit Singh yang mewakili Norizam memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya  menanggung keluarga.

Izralizam kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai serta menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sementara itu, di hadapan Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi, tiga lagi tertuduh iaitu Muhammad Kamaruzzaman Imran, 34, Muhamad Azam Ab Rahim, 33, dan Roshaizol Lajat, 45, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut seksyen sama di lokasi, masa dan tarikh tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif menawarkan jaminan RM12,000 kepada setiap tertuduh manakala peguam Tharamjit Singh yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan mereka menanggung keluarga.

Nu'aman yang menetapkan sebutan kes pada 28 Jun ini, membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan