AM

ETIKA TIANG SERI BIDANG KEWARTAWANAN - FAHMI

25/05/2024 10:41 AM

KUCHING, 25 Mei (Bernama) -- Etika adalah tiang seri dalam bidang kewartawanan kerana kepatuhan terhadapnya bukan sahaja menjadikan seseorang itu wartawan yang terbaik, tetapi menjamin kelangsungan sesebuah organisasi media, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata industri media pada hari ini berada dalam keadaan sangat mencabar, disebabkan kemunculan pelbagai media baharu yang seterusnya mengubah pola pembacaan orang ramai, maka pelaporan yang berteraskan kepada etika sangat penting untuk kekal menjadi pilihan.

“Penonton kita kini telah berpecah, telah berubah. Trend dalam kalangan anak muda sekarang sebagai contoh, sama ada mereka suka menonton televisyen atau membaca surat khabar atau membaca portal berita atau Facebook reels, TikTok.

“Perubahan-perubahan ini memberi tekanan, ada yang beranggapan tekanan ini positif, ada juga yang beranggapan kalau tidak diurus dengan dengan baik perubahan-perubahan ini boleh jadi sangat negatif,” katanya dalam temu ramah khas sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini, malam tadi.

Fahmi berkata apa juga kandungan yang dimuat naik pempengaruh media sosial atau netizen di pelbagai platform, ia berbeza dengan laporan dihasilkan oleh organiasasi media yang berpegang kepada etika kewartawanan sebagai teras utama.

“Kita tahu, kalau nak jadi wartawan kita kena dilatih, tidak semua orang sesuai untuk menjadi wartawan, hanya kerana anda boleh menulis, hanya kerana anda boleh ambil gambar, hanya kerana anda boleh merakam sesuatu keadaan, belum lagi boleh jadi wartawan.

“Tapi apakah yang membuatkan seseorang itu boleh menjadi wartawan yang baik? bagi saya keupayaan itu terserlah bila kita tegaskan isu etika. Sebab itulah pada ketika kita memikirkan model perniagaan, pada ketika kita mengkaji di mana pengikut kita, tonggak utama tiang seri kepada displin kewartawanan ini ramai yang percaya ialah etika,” katanya.

Menyentuh mengenai kebebasan media di Malaysia, Fahmi berkata secara umumnya keadaan di negara ini sangat baik, dengan tiada sebarang insiden keganasan ke atas pengamal media berlaku, malah tiada sebarang tapisan atau halangan dalam melaporkan sesuatu isu dibuat.

“Cabaran kita sebenarnya bukan kebebasan media, tapi dalam era rakyat amnya dan di seluruh dunia boleh dikatakan bebas bersuara kerana social media, bagaimana untuk kita tidak terperangkap dengan click bait yang kadang-kadang tajuk berita dalam hantaran mungkin boleh jauh berbeza dari isi kandungan,” katanya.

Sehubungan itu, Fahmi berkata perkara yang lebih penting di sebalik kebebasan media ialah bagaimana untuk memastikan setiap laporan dihasilkan dapat difahami, serta meyakinkan pembaca seterusnya tidak terpengaruh dengan kandungan di media sosial semata-mata.

Mengenai ancaman keselamatan terhadap pengamal media, Fahmi berkata tiada kompromi terhadap perkara berkenaan dan sesiapa yang berdepan sebarang masalah berkaitan bebas untuk membuat laporan polis.

HAWANA 2024 bertemakan ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di sini, dengan kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei ini.

Lebih 1,000 orang pengamal media termasuk dari Indonesia, Kemboja, Vietnam, Brunei, Filipina, Timor Leste, Kuwait, Qatar, Jepun, China dan Korea menghadiri HAWANA 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan