EKONOMI

Econili Lancar Kilang Kitar Semula Bateri Lithium-ion Terbesar Di Malaysia

26/05/2024 07:29 PM

IPOH, 26 Mei (Bernama) -- EcoNiLi Battery New Energy Sdn Bhd secara rasmi melancarkan projek kilang kitar semula bateri lithium-ion terbesar di Malaysia, di kawasan perindustrian Tasek, Ipoh dengan pelaburan kira-kira RM50 juta bagi pembinaan kilang fasa pertama.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan mencemar duli merasmikan pembukaan kilang tersebut hari ini.

Pembukaan kilang itu dijangka mewujudkan 300 peluang pekerjaan baharu berkualiti tinggi, seterusnya menyumbang kepada ekonomi tempatan dan sektor pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif EcoNiLi Battery New Energy Sdn Bhd Datuk Jayden Goh berkata kilang dan loji mereka mampu memproses sebanyak 24,000 tan bateri terpakai setahun.

"Kilang kami dilengkapi dengan loji Hidrometalurgi pertama di Malaysia bagi proses pemulihan sumber logam kritikal bersepadu EcoNiLi sejajar dengan dasar kerajaan negeri yang amat peka dan prihatin dengan sektor tenaga boleh diperbaharui. 

"Kita jangkakan sebanyak 12,000 tan black mass iaitu logam mengandungi lithium, kobalt, nikel yang amat penting bagi penghasilan bateri baharu dapat dihasilkan melalui proses kitaran lestari yang kita lakukan," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurut Goh, syarikat itu dalam perancangan untuk membuka loji kedua di Gopeng selepas loji pertama di Ipoh mencapai kapasiti 100 peratus, sekali gus menjadi loji Hidrometalurgi terbesar di Asia Pasifik dengan kapasiti yang lebih besar.

“Hasrat kami, untuk menjadikan Malaysia terutamanya Perak sebagai hab rantaian kitaran semula bateri di Asia, pada masa sama memastikan kelestarian alam sekitar terus terjaga,” katanya.

Goh berkata sejak 2018, EcoNiLi telah membina rekod komersial yang kukuh dalam rantaian kitaran semula bateri terpakai di Asia dan Eropah dan Perak adalah negeri yang paling strategik untuk perusahaan ini. 

"Perak menjadi pilihan kami kerana kedudukannya yang terletak di lokasi strategik iaitu berada di tengah-tengah antara pelanggan kami di negeri bahagian utara dan tengah Semenanjung Malaysia.

"Malah Projek Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim turut berada di negeri ini yang bakal menyaksikan banyak syarikat akan berkumpul, malah mungkin bakal menjadi pelanggan baharu kami," katanya.

Beliau berkata bagi mempercepatkan proses kitar semula bateri di negara ini, semua pihak khususnya kerajaan, perusahaan dan  masyarakat perlu bekerjasama untuk memastikan pengurusan kitar semula bateri mampu dilaksanakan bagi melindungi alam sekitar. 

"Kita mengambil peranan untuk menguruskan bateri-bateri Lithium-lon agar ia tidak dibuang ke tempat yang tidak sepatutnya, kerana ada segelintir pihak tidak mempunyai kepakaran atau lesen untuk menguruskannya jadi kita ambil dari mereka. 

"Sumber kita juga daripada syarikat yang menggunakan bateri lithium-lon dalam peralatan mereka termasuk perusahaan kenderaan tenaga baharu (NEV) kerana mereka tidak mengeluarkan bateri EV, semua diimport dari luar negara khususnya China," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan