PETALING JAYA, 30 Mei (Bernama) -- Kerajaan Selangor memberi kebebasan kepada mana-mana pihak memohon untuk mendapatkan dokumen atau minit mesyuarat berhubung dakwaan kontrak melibatkan projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) diberikan secara rundingan terus.
Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk berkongsi maklumat berkenaan tanpa perlu ‘berselindung’.
“Tidak ada masalah sebab kita ada kebebasan maklumat (Enakmen Kebebasan Maklumat) yang memberi ruang untuk mereka dapatkan dokumen. Tidak ada benda yang pelik dan sebagainya.
“Kita ada jawatankuasa dewan dan kita boleh buka (maklumat). Mereka boleh meminta minit mesyuarat yang turut dihadiri Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2024 dan PKNS Masters Selangor 2024 di sini hari ini.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) semalam menggesa kerajaan Selangor menyediakan butiran penuh pelantikan syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) di mana Ketua Pegawai Eksekutifnya Ramachandran Muniandy adalah suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Syarikat Asia Mobiliti hanya menyediakan “pembuktian konsep” bagi projek rintis DRT itu.
Amirudin turut menegaskan bahawa melalui tender terbuka yang dibuat, hanya dua syarikat iaitu Badan Bas Coach Sdn Bhd dan Asia Mobiliti yang mempunyai kebenaran daripada APAD untuk membuat pembuktian konsep (POC).
“Jadi kena faham dan jangan melulu cakap tender terbuka atau tidak tender terbuka sebab dari awal lagi soalan itu sudah salah dan cuba dikelirukan oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan atau pun menimbulkan isu,” katanya.
Menteri Besar Selangor itu berkata sekiranya satu daripada syarikat digugurkan semasa POC dijalankan, maka tiada perbandingan akan dapat dibuat untuk menentukan syarikat mana yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik.
Menjawab gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dari Perikatan Nasional untuk kerajaan negeri membatalkan kontrak sedia ada kerana didakwa dibuat tanpa melalui tender terbuka, Amirudin berkata Prasarana dan Kumpool Sdn Bhd akan dijemput membuat POC setelah mereka mendapat kebenaran APAD.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menjelaskan ia sudah melakukan siasatan interim berhubung isu pemberian kontrak tersebut namun tidak menemukan sebarang kesalahan dan tiada kes dalam isu tersebut.
Asia Mobility Technologies Sdn Bhd yang merupakan syarikat milik suami Hannah Yeoh, ialah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Selangor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial