AM

TALENTCORP AKAN JADI RAKAN KONGSI STRATEGIK DALAM MJVC2024 DI TOKYO

01/06/2024 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, akan menjadi rakan kongsi strategik bagi Malaysia-Japan Visionaries Conference 2024 (MJVC2024).

Kenyataan TalentCorp hari ini memaklumkan MJVC2024 adalah anjuran sepasukan 45 penyelidik dari Malaysia dan Jepun diketuai Dr Amy Poh Ai Ling, warganegara Malaysia berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang kini menetap di Tokyo bersama keluarganya.

Menurut kenyataan itu, ini adalah kerjasama pertama melalui inisiatif MyHeart di Jepun dan TalentCorp akan menyediakan geran sebanyak ¥1,000,000 (RM30,000) untuk memastikan kejayaan persidangan tersebut serta dermasiswa RM50,000 bagi membantu sehingga 20 penyelidik Malaysia yang menyertai MJVC2024.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dalam kenyataan sama memaklumkan dalam setiap sesi, MyHeart menawarkan lebih daripada sekadar peluang untuk berhubung dengan rakyat di luar negara sebaliknya ia adalah peluang untuk berbincang dan melibatkan diri dalam kerjasama bagi menjalankan projek mereka.

"Ia akan mewujudkan hasil yang ketara dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Malaysia dan negara serta mengubah naratif brain gain yang sebenar," katanya.

MJVC2024, yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 16 Sept ini di Universiti Tokyo Kampus Hongo, berfungsi sebagai platform akademik bagi mengumpulkan 500 peserta dan 100 pembentang merentasi pelbagai bidang termasuk sains, teknologi, kejuruteraan, matematik serta undang-undang.

Penyertaan untuk MJVC2024 kini dibuka kepada pelajar, penyelidik, jurutera dan kakitangan kerajaan yang terlibat secara aktif dalam membentuk hubungan Malaysia-Jepun.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mjvc.jp.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan