JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Masih Kesan Penjenayah Pecah Masuk Rumah Pempengaruh

03/06/2024 03:17 PM

KEPALA BATAS, 3 Jun (Bernama) -- Polis masih mengesan suspek yang memecah masuk dan melarikan barang kemas dari kediaman pempengaruh Siti Nur Khalieda Yusra atau Kieda Crepe di sini pada 25 April, hingga menyebabkan dia kerugian ratusan ribu ringgit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Supt Zulkeflee Sulaiman berkata siasatan kes itu masih diteruskan, namun setakat ini suspek yang terlibat belum dapat dikenal pasti.

“Siasatan masih berjalan, kita tak tutup (kes). Memang suspek belum dikenal pasti sebab tiada saksi yang nampak ketika kejadian itu berlaku.

“Kita ada temukan tujuh kesan cap jari di lokasi kejadian, tetapi semakan mendapati tiada satu pun cap jari itu yang ada rekod dalam pangkalan data jenayah kita,” katanya kepada Bernama.

Zulkeflee berkata pihaknya sentiasa memaklumkan mengenai perkembangan kes itu kepada pempengaruh tersebut, malah dia ada datang ke balai pada 22 Mei berjumpa dengan pegawai penyiasat kes.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pempengaruh berusia 27 tahun itu telah memuat naik sebuah video di akaun Tiktok mendakwa terpaksa mendedahkan kejadian itu, kerana selepas 40 hari berlaku susulan belum ada sebarang tangkapan dibuat terhadap suspek.

Dalam video tersebut, Kieda mendakwa dia kerugian RM800,000 selepas peti besi mengandungi barang kemas dilarikan perompak yang memecah masuk kediamannya dan berkata dirinya serta suaminya trauma dengan kejadian tersebut.

Media sebelum ini melaporkan seorang usahawan pencuci mulut dan pempengaruh popular, kerugian hampir RM500,000 selepas kediamannya di Pokok Sena di sini dipecah masuk dan difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam dan ketika itu tiada penghuni di kediaman tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan