KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 20.9 peratus kepada 21,325 tan pada April 2024 berbanding 26,966 tan yang dicatatkan semasa Mac lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Dari tahun ke tahun, pengeluaran getah asli menyusut sebanyak 9.1 peratus kepada 23,460 tan metrik pada April 2023, katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan pekebun kecil menyumbang 89.1 peratus pengeluaran getah asli pada April tahun ini, dengan baki 10.9 peratus datang dari sektor ladang.
Daripada segi inventori, jumlah stok getah asli merosot 5.1 peratus kepada 211,119 tan metrik daripada 222,455 tan metrik pada Mac 2024.
Kilang pemprosesan getah memegang 92.4 peratus daripada stok, diikuti kilang pengguna getah (7.5 peratus) dan ladang getah (0.1 peratus).
Mohd Uzir menyatakan bahawa untuk April, eksport getah asli Malaysia adalah sebanyak 47,796 tan, turun 18.9 peratus daripada 58,965 tan yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli, menyumbang 44.8 peratus daripada jumlah eksport pada April. diikuti India (11.4 peratus), Jerman (8.0 peratus), Emiriyah Arab Bersatu (4.3 peratus) dan Pakistan (3.9 peratus).
“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah,” katanya.
Sarung tangan merupakan eksport utama dalam kalangan produk berasaskan getah, dengan nilai RM1.09 bilion pada April 2024, jatuh 3.8 peratus daripada RM1.14 bilion pada Mac 2024.
DoSM turut menjelaskan analisis harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat berkurangan 0.9 peratus pada April 2024 kepada 733.58 sen sekilogram, manakala getah sekerap susut 0.1 peratus kepada 639.62 sen sekilogram.
“Harga bagi semua Getah Standard Malaysia (SMR) menurun antara 0.3 peratus sen kepada 0.9 peratus,” katanya.
Sementara itu, Malaysian Rubber Board Digest keluaran April 2024 melaporkan trend bercampur-campur dalam pasaran getah Kuala Lumpur, dengan SMR 20 pada mulanya menunjukkan pergerakan menaik sebelum melemah menjelang akhir bulan.
“Pasaran getah asli juga terencat akibat cuaca buruk di negara pengeluar utama.
“Bagaimanapun, sentimen pasaran mendapat sokongan daripada data ekonomi China yang menggalakkan, langkah sokongan berterusan dari China, ringgit yang lebih lemah berbanding dolar US dan unjuran pertumbuhan ekonomi yang stabil oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial