EKONOMI

Indeks Kos Bahan Binaan Naik 1.6 Peratus Pada Mei 2024 - Perangkaan

11/06/2024 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Indeks harga papan lapis mencatatkan peningkatan 1.6 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Mei 2024 berbanding bulan sebelum itu, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks harga seunit batu baur juga meningkat antara 0.2 peratus dan 1.7 peratus dalam tempoh yang sama bagi kebanyakan kawasan.

"Peningkatan tertinggi di Perak (1.7 peratus), diikuti dengan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (0.8 peratus) dan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.2 peratus)," katanya dalam laporan DOSM untuk kerja-kerja pembinaan dan struktur bagi Mei 2024.

Mohd Uzir berkata perbandingan bulanan mencatatkan tiada perubahan dalam indeks harga seunit bagi besi untuk kebanyakan kawasan.

"Bagaimanapun, penurunan dalam indeks harga bahan ini direkodkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-0.1 peratus) dan Tawau (-0.2 peratus)," katanya.

Indeks seunit harga simen pula kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan pada Mei 2024, dengan sedikit peningkatan bagi kawasan Terengganu dan Kelantan (0.5 peratus) dan Perak (0.4 peratus).

Perbandingan tahunan untuk tempoh Mei 2023 dan Mei 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 0.4 peratus hingga 3.0 peratus bagi hampir semua kawasan.

"Peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen telah dicatatkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (3.0 peratus), diikuti oleh Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (2.6 peratus) dan Terengganu dan Kelantan (2.4 peratus).

“Perbandingan tahunan purata harga seunit keluli menunjukkan penurunan antara negatif 0.3 peratus dan negatif 5.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan sedikit peningkatan di Johor sebanyak 0.7 peratus,” katanya.

Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan kecil 0.7 peratus kepada RM3,730.46 setiap tan berbanding RM3,702.88 setiap tan pada April 2024.

Sementara itu, DOSM berkata perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) termasuk bar keluli bagi Mei 2024 meningkat antara 0.1 peratus hingga 1.2 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia.

Terdapat sedikit penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.2 peratus bagi IKB termasuk bar keluli bagi kategori bangunan kayu dan cerucuk kayu di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Di Sabah, IKB termasuk bar keluli naik antara 0.1 peratus dan 0.3 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu kecuali kerangka besi satu tingkat dan menara.

Sementara itu di Sarawak, IKB termasuk bar keluli meningkat 0.1 peratus hingga 0.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching, manakala di Sibu dan Miri pula kekal tidak berubah.

Berdasarkan perspektif global, menurut artikel dari laman sesawang World Bank, DOSM menyatakan indeks harga logam dan mineral meningkat sembilan peratus pada April 2024 bulan ke bulan mencerminkan sentimen positif terhadap permintaan yang lebih kukuh di tengah-tengah kebimbangan gangguan bekalan.

"Harga logam asas dijangka kekal stabil pada 2024, sebelum meningkat sedikit pada 2025. Rangsangan tambahan dalam sektor hartanah di China dan gangguan bekalan merupakan risiko kenaikan utama dalam ramalan harga," kata DOSM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan