AM

Tiga Tahun 'bina' Kota Melaka Kurun Ke-15, Pamer Sejarah Hubungan Perdagangan Dengan China

11/06/2024 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Hanya dalam tempoh tiga tahun, sekumpulan penggiat seni miniatur berjaya ‘menghidupkan’ suasana dan kehidupan di Kota Melaka pada kurun-15 dengan perincian halus yang mampu membuatkan sesiapa sahaja terpegun serta terpesona apabila melihatnya.

Diorama sepanjang lebih 13 meter yang memaparkan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka itu memiliki lebih 700 miniatur masyarakat berbilang kaum lengkap dengan perincian pakaian mengikut adat dan budaya masing-masing selain replika istana, rumah malah sistem pengangkutan menggunakan haiwan seperti gajah serta lembu.

Lebih menarik, ia turut dilengkapi beberapa replika kapal dagang sebagaimana yang digunakan oleh pedagang China dan Melaka sekali gus mempamerkan hubungan Kesultanan Melayu Melaka dengan China yang terjalin sejak abad ke-15 iaitu ketika Kota Melaka berkembang menjadi pelabuhan paling penting di Nusantara.

Jika diteliti, terdapat 1,001 kisah serta cerita yang boleh disingkap dan tanpa disedari menjurus minda berimaginasi tentang suasana sebenar diorama itu.

Pengasas Galeri Seni dan Budaya WCO Foo Loke Kee berkata diorama itu antara hasil seni yang diketengah dalam Pameran Miniatur sempena sambutan 50 tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

Beliau berkata diorama indah itu berjaya dihasilkan oleh sekumpulan penggiat seni miniatur yang mengambil masa tiga tahun sejak 2020 untuk menyempurnakannya.

Foo berkata penghasilan diorama itu memerlukan rujukan dan kajian selain gabungan kepakaran, bakat serta kreativiti penggiat seni halus dan miniatur daripada pelbagai latar belakang.

“Tukang-tukang yang terlibat berbilang bangsa dan mempunyai kepakaran tersendiri, ada Melayu dan Cina sama-sama menyiapkan projek ini, misalnya replika istana, rumah dan kapal ini dihasilkan oleh tukang kayu Mohd Zain Abd Aziz, miniatur figura oleh Helen Chua manakala miniatur lain oleh Lai Pui Sun.

“Diorama ini juga mengetengahkan aktiviti antara pedagang dari China dan Kota Melaka sekali gus memberi gambaran mengenai hubungan ekonomi yang terjalin dengan negara tembok besar itu sejak abad ke-15,” katanya kepada Bernama.

Pameran di Galeri Seni dan Budaya WCO, You Residences Persiaran You City, Cheras itu berlangsung dari 31 Mei lepas hingga 30 Jun ini dan masuk adalah percuma.

Foo berkata terdapat empat replika iaitu Kapal Galleass kurun ke-15, Kapal Baochun, Jung dan Tongkang China yang menunjukkan aktiviti maritim serta perdagangan dengan China di perairan dan Selat Melaka.

Ahli Dewan Negara Datuk Seri Dr Awang Sariyan pula berkata pameran itu adalah simbolik kepada hubungan erat antara Malaysia dan China selama lima dekad yang bukan sahaja mempamerkan sejarah kerjasama serta pencapaian dua negara malah memberi inspirasi kepada masyarakat untuk memahami kepentingan hubungan diplomatik kedua-duanya.

“Pameran ini menggambarkan detik penting dalam hubungan dua hala, ekonomi, perdagangan dan pertukaran budaya yang berlaku sejak abad ke-15 dengan China.

“Kita juga berharap pameran ini mampu menjadi medium untuk memperkukuh persefahaman dan persahabatan rakyat kedua-dua negara lebih-lebih lagi ketika kita menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China,” katanya dalam ucapan perasmian pameran itu hari ini.

Beliau turut menzahirkan harapan agar terdapat infrastruktur khas dibina oleh kerajaan untuk menempatkan karya dan hasil seni miniatur sekali gus menjadi produk pelancongan yang mampu menjana pendapatan buat negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan