AM

JEMAAH DIINGATKAN TIDAK GUNA 'HELAH' PAKAI IHRAM LAKUKAN TAWAF SUNAT

12/06/2024 09:34 AM

MAKKAH, 12 Jun (Bernama) --  Jemaah haji lelaki dinasihatkan supaya tidak melakukan taktik memakai ihram semata-mata untuk melakukan tawaf sunat di Mataf iaitu persekitaran Kaabah.

Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci Lembaga Tabung Haji (TH) Ustaz Suhaimi Samad berkata walaupun dari segi hukum ibadah itu sah, namun ia tetap salah dari segi adab kerana menipu untuk beribadah.

“Saya banyak terima persoalan apakah hukum kalau jemaah tidak buat umrah, tetapi pakai ihram untuk membolehkan dia tawaf di Mataf. Memang tidak boleh sebab pihak berkuasa Arab Saudi telah menetapkan tawaf di Mataf hanya dibolehkan untuk mereka yang berniat umrah.

“Memang dari segi hukum ia sah tetapi dari segi adab, dia telah menipu dengan berpakaian ihram semata-mata untuk tawaf sunat di Mataf. Kalau nak buat ibadah, saya nasihatkan jemaah ikut saja peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Mudah-mudahan kita dapat pahala dan ibadah kita diterima,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya terdapat kelonggaran bagi jemaah lelaki untuk berbuat demikian melibatkan beberapa situasi termasuk dalam kes suami mahu menemani isterinya menyempurnakan tawaf umrah yang sebelum ini tidak dapat dilakukan kerana haid.

Pada masa sama, beliau menasihati jemaah haji yang ingin menunaikan tawaf sunat supaya melakukannya di tingkat satu Masjidil Haram bagi mengelakkan kesesakan di Mataf susulan keadaan umat Islam dari seluruh negara telah mula membanjiri masjid itu ketika ini.

“Kalau tidak ada kemampuan hendak berjalan, kita boleh menggunakan perkhidmatan skuter elektrik yang disediakan oleh pihak Masjidil Haram. Harus diingat setiap riyal dibelanjakan akan diberi ganjaran seratus ribu kali ganda,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menegur sikap segelintir jemaah haji yang lebih gemar menyelesaikan persoalan isu agama dihadapi mereka berpandukan media sosial serta teman sebilik berbanding berjumpa dengan guru agama bertauliah termasuk pembimbing ibadah haji di tanah suci.

“TH sentiasa membawa pembimbing ibadat haji untuk membantu jemaah semasa di Tanah Suci… kalau ada isu kemusykilan ibadah haji kena rujuk kepada pakar dan guru agama TH.

“Kami sendiri pun kalau ada soalan kritikal, akan dirujuk kepada pakar dan tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum atau permasalahan. Hal ini bagi memastikan ibadah itu dapat dilakukan sempurna mengikut tuntutan syariat Islam,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan