AM

NUR JAZLAN LAWAT KAZAKHSTAN, KUKUHKAN HUBUNGAN

15/06/2024 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed melawat Kazakhstan minggu ini bagi memupuk dialog antara Parlimen, susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu bulan lepas.

“Saya mendengar banyak perkara baik tentang Kazakhstan. Saya sentiasa merancang untuk melawat. Ia adalah satu peluang untuk saya berada di sini dan Kazakhstan adalah sebuah negara yang indah dengan potensi besar,” kata Nur Jazlan Mohamed kepada The Astana Times.

Lawatan Anwar pada Mei termasuk pertemuan dengan Presiden Kassym-Jomart Tokayev serta menandatangani perjanjian bernilai lebih $350 juta, menonjolkan hubungan yang semakin utuh antara kedua-dua negara.

Semasa lawatannya ke Astana, Nur Jazlan bertemu dengan Pengerusi Senat, Maulen Ashimbayev dan Pengerusi Mazhilis, Yerlan Koshanov untuk membincangkan peningkatan hubungan antara Parlimen.

"Kami berharap dapat membangunkan kerjasama bagimembantu ahli eksekutif kedua-dua negara, terutamanya dalam ekonomi, perdagangan, pelaburan, pertukaran pelajar dan pelancongan," katanya.

Antara objektif utama beliau adalah merasmikan pembentukan Kumpulan Persahabatan dalam Senat bagi memastikan komunikasi dan kerjasama yang tetap antara Parlimen.

Nur Jazlan menekankan kepentingan berkongsi amalan terbaik dalam pilihan raya, prosedur Parlimen dan pengurusan hal ehwal Parlimen untuk meningkatkan dialog antara Parlimen.

Menyentuh mengenai sektor pelancongan, beliau berkata pelancaran penerbangan terus dari Almaty ke Kuala Lumpur oleh Air Asia, mendekatkan lagi kedua-dua negara.

“Musim sejuk di Kazakhstan panjang, manakala Malaysia menawarkan industri pelancongan yang rancak. Kami berharap dapat menarik lebih ramai pelancong Kazakhstan ke Malaysia,” katanya.

Beliau turut menekankan manfaat bersama daripada peningkatan aliran pelancong, dengan Kazakhstan menjadi satu daripada pasaran sumber pelancongan yang muncul di Malaysia, dengan menyumbang 8,298 ketibaan pelancong pada 2023.

Nur Jazlan juga melihat potensi besar membabitkan kerjasama perniagaan teknikal dan berkaitan teknologi, dengan Malaysia banyak melabur dalam pengkomputeran awan dan pusat data.

Tumpuan lain ialah meningkatkan program pertukaran pendidikan, dengan lebih 200 pelajar Kazakh sedang belajar di Malaysia. Beliau mencadangkan meningkatkan biasiswa dan kerjasama latihan vokasional.

“Kemahiran adalah aset seumur hidup. Kami mempunyai program latihan kemahiran baik yang boleh memberi manfaat kepada golongan muda Kazakhstan,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai peluang untuk bekerjasama dalam pengurusan bencana.

“Kami telah membangunkan sistem yang baik bagi pengurusan banjir disebabkan isu perubahan iklim kami. Perkongsian ini boleh meminimumkan kesan bencana di Kazakhstan,” katanya.

Senator itu juga mencadangkan perkongsian program "de-radicalisation" Malaysia dengan Kazakhstan untuk memerangi ideologi ekstremis.

Mengimbas kembali jelajah Asia Tengah Perdana Menteri Malaysia, beliau menekankan objektifnya untuk "menyemarakkan semula" hubungan berdasarkan budaya dan agama Islam yang dikongsi.

“Asia Tengah ialah rantau pertumbuhan seterusnya di dunia. Menyelesaikan isu tenaga dan air akan membantu rantau ini berkembang maju,” kata Nur Jazlan sambil menyuarakan minat Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada pertumbuhan Asia Tengah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan