JENAYAH & MAHKAMAH

EMPAT LELAKI BERTOPENG GUNA SENJATA API SAMUN KEDAI EMAS DI KAJANG

17/06/2024 11:37 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Polis memburu empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun menggunakan senjata api membabitkan sebuah kedai emas di pusat beli-belah di Kajang dekat sini petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintenden Mohamad Nasir Drahman berkata siasatan awal mendapati suspek yang memakai topeng dan berpakaian seperti pengawal keselamatan serta bersarung tangan masuk ke premis itu yang terletak di tingkat satu pada 3.17 petang.

“Suspek bertindak memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi sebelum mengambil barang kemas.

“Suspek turut dipercayai membawa dua pucuk pistol serta selaras senapang dan semasa kejadian, suspek telah melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis sebelum melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata jumlah kerugian masih disiasat dan pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup selain mengambil keterangan saksi untuk siasatan selanjutnya di bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat).

Mohamad Nasir juga berkata orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat iaitu ASP Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-244 6768.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan