AM

PENYASARAN SUBSIDI DIESEL: HARGA RUMAH MAMPU MILIK KEKAL

20/06/2024 01:19 PM

CYBERJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Harga rumah mampu milik kekal RM300,000 ke bawah meskipun penyasaran subsidi diesel dilaksanakan, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu.

Beliau berkata hal ini kerana pemantauan berkesan dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya tiada pihak yang sewenang-wenangnya menaikkan harga atau kos khidmat pengurusan.

"Harga rumah setakat ini tiada kenaikan apa-apa. Rumah mampu milik (harga) masih kekal bawah RM300,000," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Ibadah Korban Sentuhan Kasih Parlimen Sepang bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tahun 2024 di sini hari ini.

Aiman Athirah berkata kerajaan juga memberi jaminan bahawa harga barangan bagi sektor pembinaan tidak akan terkesan berikutan ia dalam kawalan.

Turut hadir pada program ibadah korban itu, Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.

Sementara itu, Nor Hisham berkata ibadah korban tahun ini yang membabitkan 33 lembu dan empat kambing merupakan ibadah terbesar dilaksanakan JBPM.

"Penekanan utama (korban) adalah kesediaan pegawai dan anggota berkorban dalam ibadah dan kebersamaan dalam program yang perlu dihayati semangat itu," katanya.

Nor Hisham berkata 1,000 orang terlibat dalam ibadah korban termasuk 250 anggota JBPM dan 50 pegawai KPKT manakala 1,000 pek daging korban akan diagihkan termasuk 600 pek kepada golongan asnaf.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan