JENAYAH & MAHKAMAH

SUAMI SERAH DIRI DI BALAI POLIS SELEPAS BUNUH ISTERI DALAM BILIK HOTEL

20/06/2024 10:40 PM

IPOH, 20 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki menyerah diri di balai polis selepas  membunuh isterinya dengan menggunakan pisau  dalam sebuah bilik hotel di Jalan Pejabat Pos, Batu Gajah, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Md Noor Aehawan Mohamad berkata suspek berusia 36 tahun ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Batu Gajah pada kira-kira jam 2 petang. 

Beliau berkata suspek menyerah diri di kaunter aduan dengan memaklumkan dia telah membunuh isterinya berusia 32 tahun dalam bilik di hotel terbabit. 

“Bertindak terhadap maklumat itu, pihak polis menemukan mangsa dengan kesan tikaman termasuk sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek di tempat kejadian,”katanya dalam kenyataan, malam ini. 

-Menurutnya siasatan awal mendapati motif pembunuhan dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasak walaupun telah dipujuk.

"Suspek dan mangsa hadir ke hotel secara berasingan dan menginap di bilik sama semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Justeru, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP V.K. Gunaselan di talian 012-3634341 bagi membantu siasatan.

Sementera itu, bapa saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Johari ketika ditemui di Batu Gajah berkata pihaknya tidak menyangka nasib anak saudaranya itu berakhir dengan tragedi menyedihkan. 

"Memang dia dan suami tidak sefahaman dan rumah tangga mereka mengalami keretakan hingga ke fasa penceraian namun tidak sangka terjadi perkara seperti ini. 

"Mungkin mereka bertemu untuk berbincang namun ia menjadi kecoh selepas mangsa tidak pulang ke rumah semalam dan hari ini saya terima berita beliau sudah tiada," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan