AM

PROGRAM INSPIRASI PELAJAR INOVASI MUZIUM TELAH DIBUKA 14 JUN

22/06/2024 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) yang merupakan satu program pendidikan muzium berstruktur, telah mula dibuka mulai 14 Jun.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu, dilaksanakan pihak kementerian melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut kenyataan itu IPIM merupakan satu program yang dirangka menerusi gabungan pendidikan formal dan tidak formal (pendidikan muzium), dengan menggunakan pendekatan praktikal terhadap koleksi muzium, sebagai sokongan kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pedagogi.

Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan itu berkata beliau berharap agar program itu, dapat memupuk pemahaman dan kesedaran golongan muda terutamanya pelajar sekolah terhadap kepelbagaian warisan sejarah dan budaya, yang perlu dihargai dan dipertahankan sebagai identiti nasional yang diwarisi bersama.

Beliau berkata para guru boleh menjadikan institusi muzium ini sebagai sistem sokongan PdP yang mantap, dalam usaha meningkatkan kemenjadian murid.

Program ini menggunakan Rancangan Pendidikan Muzium berdasarkan koleksi (artifak), yang dirangka khusus mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Sejarah serta Rancangan Pengajaran Harian (RPH) mata pelajaran Sejarah.

Kepada pihak sekolah atau guru yang berminat untuk menyertai program ini, boleh membuat permohonan melalui pautan http://ipim.jmm.gov.my/formpermohonan-ipim dan sebarang maklumat lanjut sila hubungi Urus Setia Unit Pendidikan Muzium di talian 03-2267 1000 sambungan 166.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan