AM

MELAKA TERIMA PERUNTUKAN TAMBAHAN RM21 JUTA NAIK TARAF PROJEK INDUSTRI AGROTOURISM

22/06/2024 05:20 PM

MELAKA, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri menerima peruntukan tambahan berjumlah RM21 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menaik taraf enam projek di negeri itu dalam usaha memperhebatkan industri agrotourism di Melaka. 

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata projek berkenaan antaranya adalah Melaka Tropical Fruit Farm (MTFF) di Sungai Udang,  Kolam Penternakan Ikan Kelah di Brisu, Taman Laut Melaka serta pembangunan semula ladang rusa dan ladang ragut rumput lembu di Sungai Rambai.

"Kerja-kerja naik taraf kesemua enam projek berkenaan sedang giat dijalankan dan ia dijangka siap secara berperingkat pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

"Usaha menaik taraf kesemua projek berkenaan dijangka akan memberi impak yang besar pada industri agrotourism Melaka selain membantu merancakkan sektor pelancongan negeri dan membantu meningkatkan ekonomi rakyat dan pemain industri terlibat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Melaka Agrofest 2024 yang berlangsung di Dataran Sejarah, Ayer Keroh di sini selama tiga hari bermula semalam.

Dalam perkembangan lain, Dr Muhamad Akmal berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melatih 100 anak Melaka dalam industri penanaman buah rock melon menerusi Program 'Melon to Million’ di bawah peruntukan khas daripada KPKM.

Beliau berkata program berkonsepkan ‘mentor menti’ itu bukan sahaja melatih peserta menjadi usahawan rock melon yang berjaya secara percuma, malah mereka juga diberi elaun sepanjang latihan berkenaan, benih, peralatan serta menyediakan tanah aktiviti penanaman itu.

"Latihan akan dijalankan dengan kerjasama pengusaha rock melon dari Selangor dan daripada 100 peserta itu, kita akan mencari 10 yang terbaik bagi mengusahakan tanaman berkenaan secara lebih meluas.

"Mereka juga akan diberi tanah untuk mengusahakan tanaman buah tersebut selain dibantu daripada pelbagai aspek termasuk membeli semula rock melon yang ditanam sekali gus menjadi petani kontrak bagi penanaman itu," katanya.

Terdahulu, beliau berkata Melaka Agrofest 2024 menyasarkan nilai jualan berjumlah RM1 juta dengan jumlah pengunjung seramai 30,000 dalam tempoh tiga hari penganjuran festival berkenaan.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan