POLITIK

HUBUNGAN BAIK PEMIMPIN PUSAT, BAHAGIAN PASTIKAN UMNO TERUS KUKUH DI SABAH - AHMAD ZAHID

22/06/2024 11:17 PM

PAPAR, 22 Jun (Bernama) -- Kolaborasi serta hubungan baik antara pemimpin UMNO di peringkat pusat dan bahagian perlu terus dikekalkan bagi memastikan parti itu terus kukuh di Sabah, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata tiada mana-mana organisasi, pertubuhan atau parti politik yang mampu bertahan lama sekiranya kolaborasi dan hubungan baik tidak dapat dikekalkan dalam kalangan semua pihak terutama antara pemimpin atasan dan peringkat akar umbi.

“Oleh itu, hubungan pemimpin UMNO di peringkat pusat dan bahagian perlu baik untuk memastikan kejayaan pada pilihan raya akan datang. Kita mahu UMNO sekali lagi menjadi parti yang menjadi tulang belakang kepada kerajaan Malaysia dan Sabah,” katanya di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Papar di sini yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua UMNO Bahagian Papar Datuk Jamal Nerubi.

Ahmad Zahid berkata pemimpin dalam UMNO datang dan pergi, namun pemimpin yang tinggal perlu menebus maruah UMNO di negeri ini untuk bangkit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang akan datang.

“Banyak prasyarat untuk kita dapat kembali sokongan rakyat. Rakyat menilai apa usaha kita santuni mereka dan rakyat makin matang dan bijak menilai. UMNO perlu kuat semula untuk berjuang demi bumiputera Islam di Sabah.

“Kerajaan MADANI mesti diperkukuhkan. UMNO kena ada kerusi yang lebih banyak untuk jadi tulang belakang Kerajaan Perpaduan. Semangat kita perlu kental dan jangan senipis bawang, kalau kita separuh jalan kekalahan yang akan menanti kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan