AM

PERTANDINGAN KOMPANG DAN PERSEMBAHAN REBANA NUSANTARA PERKUKUH JARINGAN BUDAYA SERUMPUN

23/06/2024 10:44 PM

MELAKA, 23 Jun (Bernama) -- Pertandingan Kompang dan Persembahan Rebana Nusantara 2024 yang turut disertai peserta Indonesia dan Singapura dilihat mampu memperkukuh jaringan kebudayaan serta kesenian menerusi alat permainan tradisional dalam kalangan negara serumpun sekali gus mempromosikan kepelbagaian warisan berkenaan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata justeru, kerajaan Melaka akan menjadikan pertandingan itu sebagai satu daripada program tahunan berskala besar dengan penyertaan lebih banyak negara serumpun bagi mempamerkan keistimewaan seni dan budaya permainan kompang dan rebana mengikut negara masing-masing.

"Pertandingan Kompang dan Persembahan Rebana Nusantara 2024 dianjurkan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) dan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan peserta kompang dari luar negara seperti Indonesia dan Singapura.

"Permainan kompang ini perlu dipertahankan kerana ia merupakan satu daripada warisan seni dan budaya Melayu yang turut dimainkan dalam kalangan masyarakat nusantara dengan teknik dan persembahan tersendiri," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah pertandingan berkenaan di sini hari ini.

Abdul Razak berkata pertandingan itu juga mampu memberi impak positif terhadap sektor pelancongan negeri kerana penganjurannya pasti menggamit kedatangan lebih banyak pelancong antarabangsa yang terdiri daripada penyokong dan ahli keluarga peserta ke Melaka.

Beliau berkata pertandingan itu juga platform terbaik mencungkil bakat baharu permainan kompang dalam kalangan generasi muda.

Terdahulu, katanya kira-kira 700 peserta daripada 34 kumpulan menyertai pertandingan kompang berkenaan yang terbahagi kepada kategori sekolah rendah, sekolah menengah, terbuka dan institusi pengajian tinggi (IPT) .

Johan pertandingan kompang kategori terbuka dimenangi kumpulan Labuhanbatu Utara, Indonesia yang membawa pulang wang tunai RM6,000, sijil penyertaan dan hadiah iringan manakala kategori IPT dimenangi Gema Malaya dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur yang menerima wang tunai RM3,000, sijil penyertaan dan hadiah iringan.

Sekolah Rendah Selandar, Jasin, Melaka muncul johan bagi kategori sekolah rendah manakala kategori sekolah menengah dimenangi kumpulan Kompang ASiS dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur, dengan masing-masing menerima wang tunai RM3,000, sijil penyertaan dan hadiah iringan.

Anugerah khas iaitu persembahan keseluruhan terbaik yang menawarkan wang tunai RM2,000, sijil penyertaan dan hadiah iringan dimenangi kumpulan Labuhanbatu Utara manakala kategori paluan terbaik dimenangi Persatuan Kompang Ezhar Negeri Melaka yang menerima wang tunai RM1,000, sijil penyertaan dan hadiah iringan.

-- BERNAMA

    

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan