AM

IMIGRESEN SERBU BANDAR SULTAN SULEIMAN, PERIKSA 1,700 WARGA ASING

23/06/2024 11:27 PM

KLANG, 23 Jun (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Selangor memeriksa kira-kira 1,700 warga asing selepas menggempur kawasan perumahan di Jalan Sultan Abdul Samad 38, Bandar Sultan Suleiman menerusi Op Bersepadu di sini hari ini.

Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata kawasan perumahan membabitkan warga Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Indonesia itu diserbu hasil risikan selama tiga bulan oleh JIM.

“Kita mendapat banyak aduan daripada penduduk setempat dan situasi berkaitan kehadiran mereka di kawasan ini turut disebarkan menerusi media sosial.

“Pemeriksaan mendapati ada dalam kalangan mereka melakukan kesalahan antaranya tidak memiliki permit atau pas yang sah untuk tinggal di negara ini, tinggal lebih masa dan melanggar syarat permit atau pas,” katanya kepada pemberita pada operasi itu.

Beliau berkata operasi berkenaan disertai 298 anggota dan pegawai daripada JIM, Pasukan Gerakan Am Briged Tengah, Jabatan Pendaftaran Negara Selangor, Majlis Bandaraya Diraja Klang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.   

Beliau berkata proses dokumentasi warga asing itu masih dijalankan dan pihaknya belum dapat memberikan jumlah penahanan atau mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesalahan lain.

Terdahulu, ketika serbuan kira-kira 5 petang tadi kebanyakan warga asing berkenaan sedang menghabiskan cuti hujung minggu dengan bermain bola sepak dan membeli barang keperluan di pasar malam di kawasan perumahan itu.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada antara mereka bertempiaran melarikan diri termasuk sanggup bersembunyi di bawah kenderaan dan menggunakan alasan tertinggal bayi di rumah untuk mengelak ditahan.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan