DUNIA

BURSA MALAYSIA RENDAH DALAM DAGANGAN AWAL

24/06/2024 10:45 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah dalam dagangan awal hari ini, meneruskan aliran penurunan daripada aktiviti pengambilan untung minggu lepas. 

Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.57 kepada 1,584.80 daripada 1,590.37 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.50 mata kepada 1,589.87.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 425 berbanding 152, dengan 388 kaunter tidak berubah, 1,472 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 574.26 juta unit bernilai RM259.72 juta.  

Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari kelima berturut-turut pada Jumaat lepas, merosot berikutan jualan lewat. 

Sementara itu, saham Eropah susut berikutan laporan ekonomi benua yang lemah. Pada masa yang sama, banyak indeks Asia juga rendah, dengan Hang Seng Hong Kong berkurangan 1.7 peratus dan Kospi Korea Selatan merosot 0.8 peratus. 

“Walaupun turun naik meningkat, kami mengekalkan prospek optimis yang berhati-hati untuk pasaran tempatan. 

“Oleh itu, kami menjangka aktiviti belian saham pada harga rendah akan menguasai pasaran dan indeks petunjuk pasaran diniagakan dalam julat 1,590-1,600 hari ini,” kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng kepada Bernama. 

Bagaimanapun, katanya perspektif jangka panjang adalah positif, disokong oleh penilaian yang menarik, pendapatan korporat yang kukuh, pelaburan langsung asing yang meningkat dan keadaan ekonomi yang bertambah baik.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot tiga sen kepada RM9.83, Tenaga Nasional susut 14 sen kepada RM13.58, Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing berkurangan satu sen kepada RM3.99 dan RM6.17 serta CIMB merosot dua sen kepada RM6.77.

Bagi saham aktif, Ignenieur Gudang tidak berubah pada 6.5 sen, GDB Holding naik empat sen kepada 37 sen, Techbase Industries menambah 4.5 sen kepada 25 sen dan Kinergy Advancement meningkat 1.5 sen kepada 38 sen manakala JCY International merosot 4.5 sen kepada lapan sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 51.80 mata kepada 12,193.03, Indeks FBMT 100 merosot 46.54 mata kepada 11,769.44 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 52.65 mata kepada 12,526.52. 

Indeks FBM 70 jatuh 89.52 mata kepada 17,837.59 dan Indeks FBM ACE merosot 25.43 mata kepada 5,763.62.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 68 mata kepada 17,348.53, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.59 mata kepada 197.20, Indeks Tenaga merosot 5.85 mata kepada 957.15 dan Indeks Perladangan turun 19.38 mata kepada 7,009.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan