AM

NEGARA PERLUKAN LEBIH RAMAI PENGKARYA LAGU PATRIOTIK

24/06/2024 10:48 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Lagu-lagu patriotik antaranya, lagu Setia, Inilah Barisan Kita, Tanggal 31 Ogos juga Warisan dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, sehingga kini masih malar segar dan tersemat dalam sanubari walaupun sudah beberapa dekad dihasilkan.

Terdapat juga lagu patriotik berunsurkan perpaduan dan kenegaraan ciptaan baharu yang berjaya mencuri minat pendengar dengan selitan muzik hip hop seperti Negaraku, hasil kerjasama empat penyanyi popular, Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Faizal Tahir.

Selain itu,  lagu Malaysia nyanyian Faizal Tahir, Standing In The Eyes of The World (Ella) dan Tekad Perpaduan Penuhi Harapan dendangan Khair Bahar dan Aina Abdul mempunyai lirik serta melodi yang mampu menyemarakkan semangat cintakan tanah air yang tercinta ini, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Biarpun ini dilihat sebagai satu perkembangan positif, namun kebanyakan komposer mahupun penulis lirik yang menghasilkan lagu sebegini adalah ‘individu yang sama’ dan majoritinya sudah meniti usia warga emas, kata Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia Datuk Mokhzani Ismail, 62.

“Selain saya, biasanya komposer lagu patriotik adalah Datuk Johari Salleh, Tan Sri Ahmad Merican melalui lagu Tanah Pusaka, Datuk Ibrahim Bachek, Datuk Wah Idris, ini semua orang lama.

“Ada juga yang dah meninggal dunia seperti Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah, Allahyarham Saiful Bahri menerusi lagu Barisan Kita. Bukan sahaja komposer, penulis lirik lagu patriotik pun tak ramai, yang ada Datuk Habsah Hassan, Siso Kopratasa, kita nak ramai lagi seperti  Faizal Tahir, Affan Mazlan,” katanya kepada Bernama. 

Beliau yang juga pemimpin Orkestra RTM berkata, situasi kekurangan pelapis dalam penghasilan lagu patriotik adalah kerana tidak ramai yang berminat untuk menerokai pembikinan lagu berkenaan yang disifatkan tidak mempunyai nilai komersial.

Hakikatnya, Malaysia perlu mempunyai lebih ramai lagi komposer serta penulis lirik dalam kalangan orang muda bagi menghasilkan lagu berunsurkan perpaduan mengikut trend dan kehendak semasa sebagai usaha berterusan industri hiburan meniupkan semangat patriotisme masyarakat.

Malah, perkara ini juga pernah mendapat perhatian Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang menggalakkan lebih ramai pengkarya muzik tempatan menghasilkan lagu patriotik kerana ia bukan sahaja meraikan hari penting tersebut tetapi juga mengingatkan kepentingan hidup aman dan harmoni. 

“Anggapan ia tidak mempunyai nilai komersial, harus  berubah kerana kita dapat melihat lagu-lagu patriotik masa kini seperti Faizal Tahir, Aina Abdul, turut mendapat perhatian masyarakat dan digemari,” kata Mokhzani yang turut menggubah beberapa lagu patriotik seperti  Cemerlang Gemilang Terbilang juga lagu tema Merdeka 2020, Malaysia Prihatin nyanyian Ernie Zakri serta Menang Bersama dendangan Faizal Tahir.

Isu lagu patriotik ini turut diulas penyanyi legenda Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih popular sebagai DJ Dave yang menyarankan semua artis perlu berganding bahu serta berusaha menghasilkan lagu patriotik, sebagai antara tanggungjawab seorang rakyat negara ini. 

“Bukan hanya (menghasilkan) lagu cinta sahaja, kita tidak boleh pentingkan diri, semua orang kena sumbangkan (lagu perpaduan). Sekurang-kurangnya dalam 10 lagu (yang dihasilkan), adalah sebuah lagu berunsur perpaduan, ia akan memainkan peranan penting dalam keharmonian negara kita," katanya yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah wang tunai RM10,000 yang diterimanya daripada Rotary Club of Ara Damansara (RCAD) kepada surau, gereja dan tiga kuil, baru-baru ini.

Wang RM10,000 itu adalah hadiah yang beliau menangi selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Special Award for Unity kelab itu baru-baru ini atas kepimpinannya dalam projek lagu patriotik bertajuk 'Setia Perpaduan'.

"Penglibatan penggiat seni menyemarakkan semangat perpaduan sangat penting memandangkan mereka mempunyai pengaruh serta aura tersendiri. Selain lagu, mereka juga boleh memperbanyakkan hantaran berkaitan perpaduan di media sosial masing-masing. 

"Lebih-lebih lagi, artis muda yang mempunyai pengikut yang tinggi (di media sosial), ramai yang akan menerima manfaat. Setiap artis di negara ini, boleh diangkat sebagai duta perpaduan, kerana mereka mempunyai pengaruh tinggi," kata pelantun lagu Kini Ku Menangis Lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan