EKONOMI

KERAJAAN YAKIN CAPAI SASARAN KDNK, INFLASI PADA TAHUN INI WALAUPUN PENYASARAN SEMULA SUBSIDI DIESEL DILAKSANAKAN

24/06/2024 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan yakin ekonomi negara masih tetap mencapai unjuran rasmi kadar inflasi dan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini walaupun dengan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan kadar inflasi antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus serta pertumbuhan KDNK antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus pada tahun ini.

“Pendekatan penyasaran semula subsidi diesel yang diambil iaitu menyediakan diesel bersubsidi kepada sektor logistik dan bantuan tunai bulanan kepada individu akan mengurangkan tekanan ke atas harga barang pengguna dan impak kepada rakyat,” katanya pada Sesi Penerangan Menteri mengenai Pelaksanaan Penyasaran Semula Subsidi Diesel di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya kerajaan masih menanggung subsidi diesel sehingga RM10 bilion walaupun penjimatan dianggarkan sebanyak RM4 bilion setahun daripada penyasaran semula subsidi diesel.

Beliau berkata ini untuk menampung subsidi di Sabah dan Sarawak, subsidi untuk sektor pengangkutan awam dan sektor logistik Semenanjung Malaysia, bantuan tunai untuk pemilik kenderaan individu dan pengusaha kecil agri-komoditi serta subsidi diesel nelayan.

Mengenai BUDI MADANI, Amir Hamzah berkata setakat 19 Jun lepas, sebanyak 100,000 pemohon di bawah kategori individu dan agri-komoditi telah diluluskan.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 76,000 pemohon telah menerima bantuan tunai bulanan RM200 seawal 10 Jun lepas.

Amir Hamzah turut menekankan bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus untuk memastikan mekanisme terbaik digunakan bagi melindungi sektor perniagaan dan rakyat yang layak dibantu.

“Keputusan melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel bukanlah satu langkah mudah untuk diambil. Kerajaan tidak terburu-buru,” tegasnya.

Beliau berkata keputusan ini melibatkan kerjasama sama ada jabatan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pengangkutan mahupun syarikat minyak dan pemain industri.

Katanya jumlah diesel bersubsidi yang digunakan naik mendadak sekitar 80 peratus iaitu daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada 2023 walaupun tiada peningkatan kenderaan diesel baharu yang ketara dalam tempoh sama.

Pada masa yang sama, katanya jumlah jualan diesel komersial tanpa subsidi pula telah turun sebanyak dua bilion liter dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata peningkatan penggunaan diesel bersubsidi yang amat ketara ini disebabkan jurang perbezaan harga yang besar antara harga komersial dengan harga runcit diesel bersubsidi di pam Malaysia. 

Sebelum ini, katanya harga diesel bersubsidi adalah pada RM2.15 seliter iaitu antara termurah di dunia sedangkan harga komersial telah mencecah RM3.50 seliter.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan