PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sudah terlalu lama tiada penyelarasan kenaikan gaji kepada penjawat awam.
“…kita harapkan mereka (penjawat awam) bekerja lebih kuat, sudah berbelas tahun tak ada kajian dan ganjaran yang adil.
“Sebab itu saya semalam di parlimen apabila ditegur saya tegaskan saya tidak bertolak ansur kerana tanggungjawab kita untuk memberikan apa yang mampu dan munasabah kepada penjawat awam dan Insya-Allah saya akan umumkan sebelum bajet atau belanjawan tahun ini,” katanya.
Anwar berkata demikian di dalam ucapannya pada majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.
Pada 1 Mei lepas Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam yang menyaksikan kenaikan melebihi 13 peratus dan merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara.
Sementara itu Anwar turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak terikut-ikut dengan tindakan pembangkang berhubung isu penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Katanya pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadapnya termasuk menggelarnya sebagai ‘anak angkat’ Amerika Syarikat (AS) dan mengikut nasihat Yahudi.
“Rakan-rakan penjawat awam harus ikuti (isu ini), bukan ceramah politik maki hamun orang, dajalkan orang, kafirkan orang (seperti) yang mereka lakukan di (Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap, saya dipanggil anak angkat AS, Kementerian Kewangan pinjam daripada IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan dikatanya saya ikut nasihat Yahudi.
Sewaktu sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam, Anwar berkata Global Infrastructure Partners (GIP) dipilih berikutan persetujuan syarikat itu untuk mengekalkan pelantikan warganegara Malaysia sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB serta pemilikan kolektif saham majoriti milik negara.
Beliau berkata selain GIP, pihak lain tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Khazanah dan KWSP menetapkan syarat ketat yang akan menyaksikan pemilikan kolektif Malaysia dalam MAHB meningkat kepada 70 peratus berbanding 41 peratus pada masa ini sebaik sahaja penstrukturan pengendali lapangan terbang itu selesai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial