AM

SUBSIDI DIESEL: SYOR GUNA ‘FLEET CARD’ SUBSEKTOR TERTENTU DI SABAH, SARAWAK - ARMIZAN

29/06/2024 06:30 PM

PAPAR, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang memperhalusi cadangan penggunaan mekanisme fleet card bagi subsektor tertentu di Sabah dan Sarawak, meskipun kedua-dua negeri dikecualikan daripada pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel ketika ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali bagaimanapun berkata cadangan itu, masih belum diputuskan dan masih dipertimbangkan, antara lain bagi menambah baik prosedur operasi standard menangani isu ketirisan dan penyelewangan subsidi diesel di negeri berkenaan.

“Jadi, kita tengah pertimbang dan perhalusi apa juga pendekatan, supaya kita dapat menangani isu ketirisan, penyelewengan dan penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program penyerahan bas dan lori daripada sebuah syarikat swasta di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan menjelaskan keputusan kerajaan mengecualikan Sabah dan Sarawak daripada pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel pada masa ini, berdasarkan keperluan serta kepentingan rakyat dan bukannya pertimbangan politik sempit.

Ahli Parlimen Papar itu berkata rasional kerajaan memutuskan perkara tersebut, melihat kepada penggunaan kenderaan pacuan empat roda yang tinggi dalam kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak, berikutan faktor geografi dan keadaan infrastruktur jalan raya.

“Orang Sabah menggunakan diesel bukan disebabkan kehendak mereka, tetapi keperluan kerana faktor-faktor tadi,” katanya.

Justeru, Armizan berharap tidak ada mana-mana pihak cuba mempolitikkan keputusan kerajaan itu dalam mengecualikan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan bajet yang sama untuk Sabah dan Sarawak iaitu RM3.6 bilion bagi penyasaran subsidi diesel. Jadi, tinggi sebenarnya bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan