AM

ESSCOM HASRAT LIBATKAN PASUKAN KHAS KASTAM, IMIGRESEN DALAM LATIH AMAL DI ESS ZONE

29/06/2024 10:25 PM

LAHAD DATU, 29 Jun (Bernama) -- Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berhasrat memperluas  latih amal gabungan pasukan khas dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengukuhkan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESS ZONE).

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata pada masa ini latih amal itu melibatkan pasukan khas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi mengkoordinasi kerjasama antara agensi dalam ESS ZONE.

Beliau berkata latih amal itu juga memainkan peranan penting dalam memastikan operasi serta kawalan keselamatan di ESS ZONE yang dilakukan pelbagai agensi dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

"Latih amal operasi khas ini memberikan satu pengalaman dan kesiapsiagaan mereka dalam melaksanakan operasi, kombinasi pasukan perisikan dan pasukan elit terserlah.

“Pasukan latih amal ini juga boleh digerakkan untuk mengambil bahagian dalam kawalan kedaulatan di tempat-tempat tertentu," katanya dalam sidang media mengenai latihan dalam perkhidmatan pasukan khas ESSCOM di sini hari ini.

Victor berkata latih amal itu juga penting bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan terlibat dalam mengekang elemen penculikan untuk wang tebusan (KFR) berikutan elemen itu masih lagi wujud di negara jiran dan dipantau ketat ESSCOM.

Mengulas mengenai latihan dalam perkhidmatan pasukan khas ESSCOM itu, beliau berkata seramai 84 pegawai serta anggota terlibat dalam latih amal yang diadakan di kawasan Kinabatangan serta Lahad Datu sejak 26 Julai lepas sehingga 1 Julai ini.

Katanya latih amal itu berkonsepkan operasi khas dalam keadaan sebenar dilaksanakan di kawasan koloni setinggan sekitar Lahad Datu dan latihan ini dapat menggabungkan semua kepakaran, kesefahaman dan sinergi setiap agensi elit yang terlibat.

Pada siri latihan kali ini, pasukan PDRM terlibat adalah 69 Komando, Unit Tindakhas (UTK), Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Gempur Marin (UNGERIN) Pasukan Polis Marin Wilayah 4 dan Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

ATM terdiri daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Maritim Malaysia adalah Special Task Force and Rescue Team (STAR).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan