AM

JOHOR BERJAYA TARIK 50 PUSAT DATA DALAM DUA TAHUN LEPAS - ONN HAFIZ

03/07/2024 10:08 PM

KULAI, 3 Julai (Bernama) -- Johor berjaya menarik lebih 50 pusat data dalam tempoh dua tahun lepas dengan Sedenak Tech Park (STeP), di sini, sahaja mempunyai kapasiti lebih satu gigawatt (GW), kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata pertumbuhan pesat dalam industri pusat data menunjukkan keupayaan Johor menjadi hab pusat data baharu di Asia.

“Singapura mengambil masa selama 15 tahun untuk menjadikan negara itu sebagai hab data dengan lebih 70 pusat data dengan kapasiti berjumlah 1.4 GW, sebaliknya, Johor menarik lebih 50 pusat data dalam tempoh dua tahun lepas. 

“Pertumbuhan pesat industri pusat data di Johor menunjukkan negeri ini berada di landasan untuk menjadi sebagai hab pusat data baharu di Asia,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Kampus Princeton Digital Group JH1, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor Lee Ting Han.

Onn Hafiz berkata Johor merupakan satu daripada negeri yang berkembang paling pantas yang terkenal dengan dorongan kuat ke arah ekonomi digital dengan dasar kerajaan yang teguh, kesalinghubungan dan infrastruktur yang kukuh.

“(Justeru) bagi menggerakkan pusat data, kerajaan negeri juga akan lebih berpilih, menekankan kepada penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh baharu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan menawarkan peraturan dan insentif ekonomi khas, mewujudkan persekitaran yang menarik bagi pelabur.

“Walaupun pertumbuhan ekonomi dan digital adalah penting, penglibatan komuniti memastikan kemajuan memberi manfaat kepada semua orang dan menggalakkan pembangunan inklusif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan